Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Dalam usaha membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, Majlis Pelajar Institut KEMUDA telah berusaha mengumpul dan menyalurkan sumbangan pelbagai barangan.
Kain, baju cara Melayu, baju kurung, tudung dan songkok adalah sebahagian barangan yang dikumpulkan untuk membantu memeriahkan sambutan Hari Raya akan datang bagi golongan yang kurang bernasib baik.
Kempen sumbangan itu diketuai oleh wakil Majlis Pelajar Institut KEMUDA serta kakitangan Institut KEMUDA.
Ia bertujuan untuk menunjukkan sokongan berterusan institut kepada mereka yang memerlukan di samping bagi menggalakkan semangat dan budaya mengeratkan silaturahim, konsep bersedekah dan berusaha ke arah tujuan yang baik.
Aktiviti itu juga menggalakkan niat baik dalam kalangan pelajar KEMUDA dan orang ramai.
Institut KEMUDA dalam kenyataannya mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menunjukkan sokongan mereka terhadap inisiatif tersebut.