Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Seramai 81 orang pelajar Tahun 5 dan 10 orang guru Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei (PSB) untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan sejarah Sultan Bolkiah, Sultan Brunei ke-5 dan zaman kegemilangan Brunei pada kurun ke-15.
Kedatangan rombongan dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengetua, Awang Muhammad Faisal bin Haji Mat Salleh dan pegawai-pegawai dari Bahagian Pameran dan Perkhidmatan dan Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi, PSB.
Semasa lawatan itu, rombongan juga berkesempatan untuk menyaksikan Pameran Setem: The Postal History of Brunei 1895 – 1988 yang dipamerkan di PSB sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39.
Pameran tersebut dibukakan untuk kunjungan orang ramai mulai 27 Februari sehingga 5 Mac dengan kemasukan percuma.
Semasa lawatan itu, pelajar menyatakan perasaan berpuas hati dan seronok dapat mengetahui tentang sejarah Brunei dan pameran-pameran lain yang terdapat di pusat itu.


