JAKARTA, 22 JUN – Indonesia hari ini menghantar pulang seorang pelarian yang dituduh menjadi dalang skim penipuan di negaranya di Jepun dengan menipu dana kerajaan yang menawarkan subsidi bantuan COVID, kata pegawai.
Mitsuhiro Taniguichi, 47, muncul di hadapan wartawan di pejabat imigresen di bandar Jakarta dan diterbangkan balik ke Tokyo awal pagi ini menggunakan pesawat Japan Airlines susulan penangkapannya bulan ini.
Warga Jepun itu dan beberapa rakan subahatnya telah dituduh menyerahkan permohonan palsu untuk menuntut 960 juta yen (AS$7 juta) dalam dana bantuan COVID untuk tujuan perniagaan kecil, menurut laporan media Jepun.
Pegawai Douglas Orlando Andreas Simamora mengesahkan deportasi warga Jepun itu ke lapangan terbang Narita, Tokyo dalam sidang berita di pejabat Direktorat Jenderal Imigrasi.
“Dia telah diusir kerana tidak mempunyai permit tinggal dan pasportnya telah dibatalkan oleh kerajaan Jepun,” kata Simamora.
“Dia akan dimasukkan dalam senarai hitam (individu),” katanya.
Pejabat imigresen lapangan terbang antarabangsa Soekarno-Hatta juga dalam siaran akhbarnya merujuk suspek sebagai ‘MT’ memaklumkan dia kini telah dideportasi.
Taniguchi telah diberkas dalam operasi bersama antara polis tempatan dan pejabat imigresen pada 7 Jun di pulau Sumatera selepas dikesan oleh kedutaan Jepun dan pasportnya dibatalkan oleh Tokyo.
Dia dilaporkan memasuki Indonesia pada Oktober 2020, beberapa bulan selepas skim itu didedahkan oleh polis Jepun. – AFP
