Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Tadarus, Bersungkai dan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah sempena bulan Ramadan bertempat di Masjid Kampung Pelambayan, di sini.
Majlis yang dikendalikan oleh Agensi Pelaburan Brunei (BIS) itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan (Fiskal) Dato Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri Kewangan (Pelaburan), Dato Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua bahagian, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan di bawahnya.
Majlis serupa akan diteruskan lagi di tiga buah masjid iaitu Masjid Kampung Beribi pada 3 Jun, Masjid Pengiran Muda Abdul Malik Kampung Tungku pada 6 Jun manakala acara penutup akan diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit pada 8 Jun dengan Majlis Khatam Al-Quran.
