Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Seramai 12 peserta yang terdiri daripada residen dan penghuni Kompleks Rumah Kebajikan (KRK) telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran sempena Nuzul Al-Quran kelmarin.
Majlis yang berlangsung di Dewan Munawarrah, Kompleks Setia Point, Berakas berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat bersama majlis adalah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.
Majlis turut diserikan dengan Dikir Marhaban dan penyampaian sijil kepada para peserta, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam, serta penyerahan sumbangan sampul hari raya kepada para residen dan penghuni.
Di majlis itu, tetamu dan peserta-peserta juga berpeluang untuk berbuka puasa bersama dan menunaikan solat Fardhu Maghrib berjemaah.
Turut hadir adalah isteri kepada tetamu kehormat bersama, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap daripada KKBS dan juga Kementerian Pembangunan.
Hadir sama pegawai-pegawai kanan daripada KKBS, Kementerian Pembangunan, Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PTTM), Jabatan Perdana Menteri dan juga Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Yang Mulia Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku pengerusi majlis.