SINGAPURA, 17 JUN – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 30 tahun ditahan pada Sabtu kerana cuba menyeludup dadah bernilai lebih S$173,000, termasuk kira-kira 1.4 kilogram heroin ke Singapura, menurut pihak berkuasa hari ini.
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) serta Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam kenyataan bersama telah memaklumkan pegawai ICA menemukan satu bungkusan yang dipercayai mengandungi dadah di belakang ruang sarung tangan dalam sebuah kereta berdaftar Malaysia semasa pemeriksaan ketat di Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Bungkusan-bungkusan itu kemudian disahkan mengandungi kira-kira 1,402 gram heroin, 495 gram ganja dan 115 gram dadah jenis ‘Ice’,” menurut kenyataan itu dan ketika ini siasatan masih dijalankan. – Bernama


