Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Nigeria di Afrika diarah pulang

    ABUJA, 10 SEPT – Presiden Nigeria Muhammadu Buhari mengarahkan semua warga Nigeria di Afrika Selatan segera dihantar pulang susulan insiden keganasan xenofobia terhadap warga asing, lapor agensi berita Xinhua.

    Arahan itu dikeluarkan kepada warga yang berada di Afrika Selatan dan bersedia untuk pulang ke Nigeria kerana bimbang akan keselamatan mereka.

    Keputusan itu diambil selepas seorang utusan khas ke Afrika Selatan bertemu dengan Buhari menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan warga Nigeria di Afrika Selatan, menurut kenyataan pejabat presiden semalam.

    Presiden turut menegaskan kerajaan Afrika Selatan untuk segera mengambil langkah sewajarnya bagi menamatkan keganasan yang tercetus itu.

    “Buhari bimbang isu xenofobia akan menjejaskan imej dan kedudukan Afrika Selatan sebagai sebuah negara terkemuka di benua itu,” jelas kenyataan itu.

    Beliau turut menyuarakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama mencari penyelesaian  memandangkan terdapat penglibatan ‘beberapa rakyat Nigeria dalam kegiatan jenayah’.

    “Nigeria akan bekerjasama dengan Afrika Selatan untuk melindungi nyawa dan harta warganya yang mematuhi undang-undang di

    samping rakyat Afrika yang lain, terhadap segala bentuk serangan termasuk xenofobia,” kata kenyataan itu.

    Afrika Selatan baru-baru ini digemparkan dengan gelombang rusuhan yang menyasarkan premis perniagaan milik warga asing, termasuk Nigeria.

    Buhari juga dijadual mengadakan lawatan ke Afrika Selatan bulan depan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda