Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Perancis dibebaskan secara bersyarat

    INDONESIA/PARIS, 18 JULAI – Seorang warga Perancis yang menghabiskan hampir dua dekad dalam hukuman mati di Indonesia atas kesalahan dadah telah dibebaskan dari penjara hari ini selepas diberikan pembebasan bersyarat.

    Serge Atlaoui, seorang pengimpal berusia 61 tahun dari Metz di timur Perancis, telah diterbangkan pulang ke tanah air Februari lalu selepas dikenakan hukuman mati di Indonesia sejak 2007.

    Dia disambut oleh peguamnya, Richard Sedillot, ketika dia berjalan keluar dari pintu pagar penjara Meaux dekat Paris, dengan memakai kemeja-T putih dan seluar kelabu.

    “Dia akan dapat merasa kebebasan yang dia tunggu selama bertahun-tahun,” kata isterinya, Sabine Atlaoui, kepada penyiar RTL sejurus sebelum pembebasannya.

    Tambahnya, dia masih tidak percaya suaminya kini kembali dan akan bersama mereka lagi setiap hari. Bapa kepada empat orang anak itu telah menjalani hukuman yang diubah oleh mahkamah Perancis kepada penjara selama 30 tahun dan kemudiannya diluluskan untuk pembebasan bersyarat.

    “Kisah Serge Atlaoui, yang dijatuhkan hukuman mati, adalah pengajaran hidup,” kata Sedillot kepada AFP sementara dia menunggu anak guamnya.

    “Ketabahan, keberanian, kesabaran dan sifat kemanusiaannya adalah pengajaran untuk kita semua,” tambahnya.

    Atlaoui telah ditangkap pada tahun 2005 di sebuah kilang di pinggir Jakarta, di mana berpuluh-puluh kilogram dadah telah ditemui, dan dia dituduh sebagai seorang ‘ahli kimia’ oleh pihak berkuasa. – AFP

    Atlaoui semasa bercakap kepada media di luar penjara Meaux-Chauconin, di Meaux, timur Paris pada 18 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda