Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sikap profesionalisme dalam kalangan warga perkhidmatan awam adalah penting bagi merealisasikan semua perancangan kemajuan negara untuk bergerak mengikut masa yang dihasratkan.
Sehubungan itu, kakitangan awam diseru untuk menerapkan sikap profesionalisme dalam hal-hal pekerjaan termasuk membuat keputusan dan menggubal dasar.
Perkara itu ditekankan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan (gambar-Infofoto) dalam ucapan penangguhannya pada Musim Permesyuaratan ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), hari ini.
“Sikap profesionalisme yang tinggi akan dapat memberikan gambaran kepada orang ramai betapa kakitangan awam mempunyai nilai komitmen dan dedikasi yang tinggi di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
“Sikap profesionalisme inilah yang akan dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi orang ramai terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan secara amnya dan dapat mencapai matlamat bagi mendukung Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat Awang Abdul Aziz.
Seterusnya, beliau juga menyentuh mengenai transformasi budaya kerja di mana dalam membudayakan sikap profesionalisme ini, setiap jabatan kerajaan perlu melakukan transformasi.
Transformasi budaya ini, tambahnya tidak akan dapat dilakukan di dalam masa sehari atau melalui kursus dan bengkel bahkan ia memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan semua pihak daripada peringkat atasan hingga ke peringkat organisasi yang paling bawah.
Negara memerlukan pegawai-pegawai dan kakitangan yang inovatif dan kreatif dalam memikirkan apa yang terbaik. Setiap kakitangan kerajaan juga perlu sentiasa kreatif melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baharu serta agresif dalam mempelajari ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri. Amalan ini hendaklah sentiasa dipraktikkan sehingga menjadi budaya dan ikutan dalam organisasi masing-masing, tambahnya.
Manakala Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dalam ucapan penangguhannya menyentuh mengenai peranan media kerajaan yang menurutnya penting dalam memaparkan dan meningkatkan imej negara di mata rakyat dan dunia terutamanya dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelabur langsung asing (FDI) baharu ke negara ini.
Media kerajaan juga perlu mempunyai strategi yang out of looking untuk meningkatkan reputasi negara baik dari segi pilihan atau destinasi pelaburan juga bagi pelancongan dengan cara memberikan maklumat yang betul, cepat dan tepat.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menyatakan bahawa nilai bernegara yang berpaksikan amalan Melayu Islam Beraja (MIB) juga perlu difahami secara mendalam dan saksama di mana dalam amalan ini tidak ada pihak yang menang dan tidak ada pihak yang kalah.
Semua pihak perlu saling berganding bahu, sokong menyokong, bersatu hati, bersatu padu, seiring sejalan dalam persepakatan dan perpaduan ke arah mencapai hasrat negara di bawah kepimpinan Baginda Sultan, jelasnya.