Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga rumah panjang terima sumbangan

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan KHEDN

    BELAIT, 3 OGOS – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, hari ini, telah membuat tinjauan ke Rumah Panjang Apak-Apak, Kampung Bang Taong di Mukim Sukang, Daerah Belait yang terjejas oleh kejadian angin kencang baru-baru ini.

    Lawatan Yang Berhormat Pehin selaku pengerusi Majlis Bencana Kebangsaan dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan adalah untuk meninjau kerosakan struktur-struktur atap yang menjejaskan rumah panjang berkenaan.

    Susulan daripada itu, tindakan bersepadu agensi-agensi kerajaan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Belait dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat cawangan Sungai Liang telah bertindak pada 31 Julai lalu dengan menutup keseluruhan bahagian rumah panjang yang terjejas dengan kanvas kalis air. Di samping itu, pihak agensi-agensi berkenaan telah membuat penilaian lanjut bagi membaik pulih kerosakan ke atas empat buah pintu dalam rumah panjang yang terjejas.

    Turut menyertai lawatan kerja berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; setiausaha tetap (keselamatan, kesejahteraan dan undang-undang) dan setiausaha tetap (bandaran dan daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), setiausaha tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), timbalan setiausaha tetap (bandaran dan daerah), pemangku timbalan setiausaha tetap (keselamatan dan kesejahteraan) di KHEDN, pegawai Daerah Belait, pemangku pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Sukang serta pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

    Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Pehin telah menyampaikan empat unit lampu solar dan alat pemadam api kepada penghuni-penghuni rumah panjang yang terjejas.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyampaikan empat unit lampu solar dan alat pemadam api kepada penghuni rumah panjang yang terjejas.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan berupa catuan makanan dari Jabatan Pembangunan Masyarakat kepada salah seorang penghuni rumah panjang yang terjejas oleh angin kencang.

    Manakala itu, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan telah menyampaikan sumbangan be-rupa catuan makanan daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) kepada penghuni rumah panjang yang terjejas untuk kebajikan dan kesejahteraan mereka.

    Yang Berhormat Pehin dalam temu bual bersama pihak media semasa lawatan berkenaan menyatakan bahawa kejadian angin kencang yang berlaku pada petang 30 Julai lalu di Daerah Belait telah mengakibatkan kerosakan struktur atap bagi empat buah pintu daripada 22 pintu rumah panjang tersebut.

    Dalam hubungan itu, Jabatan Daerah Belait bersama Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat memberikan bantuan segera untuk menyediakan atap sementara berupa kanvas kepada rumah-rumah yang terjejas bagi menggelakkan air hujan menembusi bilik-bilik rumah yang terjejas. Yang Berhormat Pehin menerangkan bahawa ia merupakan langkah sementara dan bagi langkah jangka panjang, kementeriannya dan KKBS serta JAPEM akan bersama-sama berusaha untuk memberikan bantuan kepada yang terjejas.

    Sementara itu, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyatakan bahawa menerusi lawatan itu, mereka dapat meninjau dan menilai bantuan yang perlu diberikan kepada mangsa-mangsa akibat kejadian angin kencang di mana pihak JAPEM akan membuat penelitian khusus dalam memberikan bantuan tambahan kepada KHEDN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda