Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga sekolah turut kibar bendera

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) tidak ketinggalan untuk mengadakan Upacara Menaikkan Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 tahun yang diadakan di Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kampung Madang baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Agung PGGMB, Haji Mustapa bin Haji Masri. Upacara itu turut disertai oleh guru-guru besar sekolah-sekolah PGGMB dan guru-guru serta murid-murid Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kampung Madang.

    Acara dimulakan dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan diikuti penyerahan bendera oleh Haji Mustapa kepada Guru Besar Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kampung Madang, Awang Ismail bin Haji Tia, yang seterusnya menyerahkan bendera berkenaan kepada dua orang pelajar sekolah itu yang diamanahkan untuk menaikkan bendera.

    Semasa bendera dinaikkan, semua peserta yang hadir sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

    Sejurus bendera dinaikkan, semua yang hadir sama-sama melaungkan Daulat Kebawah Duli Tuan Patik tiga kali dan diteruskan dengan nyanyian lagu sekolah, Pendidikan Teras Kehidupan.

    Satu lagi acara khas dipersembahkan iaitu bacaan puisi oleh dua orang pelajar yang bertajuk Raja Berjiwa Rakyat.

    Majlis pagi itu diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai lagu Hari Keputeraan Dirgahayu.

    Haji Mustapa bergambar ramai dengan warga Sekolah Tunas Jaya PGGMB Kampung Madang selepas upacara menaikkan bendera. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH PGGMB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda