SINGAPURA, 20 MEI – Seorang warga Singapura, Malone Lam, yang sebelum ini didakwa di Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mencuri mata wang kripto, kini dituduh mengetuai kumpulan jenayah yang dipercayai mencuri ratusan juta dolar dalam bentuk mata wang digital, lapor media tempatan.
Lam, 20, pertama kali didakwa pada September tahun lalu atas pertuduhan mencuri mata wang kripto dan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$230 juta daripada seorang mangsa.
Dalam pertuduhan terbaharu, pendakwa persekutuan mendakwa dia merancang skim lebih besar bersama 12 individu lain, menurut laporan CNA.
Lam hadir di mahkamah Washington D.C. kelmarin dan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan baharu itu.
Lam dan Conor Flansburg, 21, dari California dinamakan sebagai penganjur kumpulan yang terdiri daripada 13 individu itu dalam dokumen pertuduhan.

Kumpulan itu didakwa berkenalan melalui platform permainan dalam talian sebelum mereka membangunkan satu skim yang meraih keuntungan keseluruhan sebanyak AS$263 juta.
Mereka disyaki mencuri dana dari dompet mata wang kripto, menukarnya kepada dolar AS dan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.
Mereka juga dikatakan terlibat dalam kes pecah rumah, termasuk satu insiden di mana seorang ahli kumpulan memecah masuk rumah mangsa di New Mexico untuk mencuri dompet perkakasan yang mengandungi mata wang digital.
Kesemua 13 suspek, termasuk Lam didakwa di bawah Akta RICO (Racketeer Influenced and Corrupt Organisations). – Bernama