BANDAR SERI BEGAWAN, 25 April – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI, hari ini, telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Menengah Rimba I.
Program merupakan salah satu usaha berterusan jabatan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan, dalam masa yang sama juga dalam mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut di Negara Brunei Darussalam.
Seramai 354 orang penuntut sekolah berkenaan menghadiri jerayawara tersebut dan turut hadir ialah Pengetua sekolah, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof Al-Idrus.
Semasa jerayawara berkenaan, taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Awang Abdul Karim bin Hamdan.
Selain mendengarkan taklimat, klip video mengenai ASEAN turut ditayangkan diikuti dengan kuiz ASEAN yang dikendalikan oleh Pegawai Luar Penerangan, Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Haji Abdul Hanif bin Haji Abdul Rahim dan 10 pelajar yang berjaya menjawab dengan betul turut menerima hadiah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan, taklimat antara lain bertujuan memberigakan serta membuat pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini kerana mereka adalah golongan belia yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya berperanan penting dalam memangkin hala tuju negara ini.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan penuntut-penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui tentang ASEAN dan peranan organisasi ini dalam membangun negara-negara anggotanya.
Taklimat ini juga dapat menanamkan kesedaran dan rasa milik dalam kalangan penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN iaitu Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Taklimat juga diteruskan dengan maklumat mengenai Wawasan Brunei 2035 yang wajar diketahui oleh para penuntut mengenai strategi-strategi yang telah dirancang.
Ia dihasratkan dapat meningkatkan kesedaran penuntut-penuntut tentang perkembangan negara dimata serantau serta menjadi pencetus semangat bagi mereka berusaha dengan lebih gigih untuk memajukan tanah air agar Wawasan 2035 dapat direalisasikan.