Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Lebih 500 orang kakitangan Bank Standard Chartered (StanChart) dan ahli keluarga mereka telah diceriakan dengan acara Hari Keluarga di Taman Permainan Jerudong Park, baru-baru ini.
Acara dianjurkan oleh Jawatankuasa Kelab Rekreasi Bank StanChart di mana para kakitangan diberikan tiket masuk ke taman berkenaan yang meliputi kawasan Fasa 1 dan Fasa 2 termasuk taman air.
Pelbagai aktiviti termasuk lukisan muka, bouncer, bersiar-siar dengan kereta elektrik dan permainan karnival yang menyeronokkan telah disediakan untuk para kakitangan dan ahli keluarga mereka.
Turut diadakan adalah Amazing Race di mana lima pasukan berlumba di kawasan taman permainan bagi menyelesaikan teka-teki sebelum memenangi hadiah yang disediakan.
Penjual makanan tempatan seperti Saucy Sides, KYNA Popsicles, Satay Haji Ibrahim dan Top Folk turut hadir menjamu orang ramai dengan hidangan istimewa mereka di samping menikmati bertih jagung dan gula-gula kapas tanpa had daripada Arnyna Enterprise dan slushies daripada Smart B Enterprise.
Para kakitangan dan ahli keluarga mereka juga digalakkan untuk membawa bekas makanan, kutleri dan botol air mereka sendiri bagi mengelakkan penggunaan plastik sekali guna sekali gus mewujudkan impak positif kepada alam sekitar.
Pengerusi Kelab Rekreasi Bank StanChart, Sharon Tan berkata bahawa Hari Keluarga StanChart 2023 ialah yang pertama diadakan selepas COVID-19 dan pasukannya telah berusaha sedaya upaya untuk menjadikan hari tersebut istimewa.
“Hari ini dicipta bukan sahaja untuk meraikan kerja keras rakan sekerja kami tetapi juga keluarga mereka. Di StanChart, kami percaya dalam mencapai keseimbangan kerja kehidupan yang positif untuk kakitangan kami dan ini tidak mungkin dilakukan dengan sokongan ahli keluarga mereka,” ujarnya.


