Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT- Seramai 256 orang pegawai dan kakitangan Syarikat Takaful Brunei Sdn. Bhd, telah menerima sijil Kursus Penyempurnaan Jenazah, kelmarin pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Penyempurnaan Jenazah yang berlangsung di Dewan Serba guna Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Kursus dikendalikan oleh Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Syarikat Takaful Brunei Sdn. Bhd itu diadakan secara berkala dalam tempoh dua bulan pada 14 Ogos, 21 Ogos, 11 dan 25 September.
Hadir selaku Tetamu Khas, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri yang kemudiannya menyempurnakan penyampaian Sijil Penyertaan kepada para peserta.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Abdul ‘Aziz bin Haji Abdullah, diikuti dengan ucapan oleh Penguasa Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong selaku Pengerusi Majlis, Awang Haji Haris bin Haji Suboh.
Penganjuran kursus seumpama ini dihasratkan dapat memberi pendedahan menyeluruh mengenai penyempurnaan jenazah berlandaskan syariat Islam, di samping menambah kefahaman para peserta tentang kepentingan memelihara adab serta tatacara penyempurnaan jenazah dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.
Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Takaful Brunei Darussalam dan Anak-Anak Syarikatnya, Takaful Brunei Am (TBA) dan Takaful Brunei Keluarga (TBK), Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya; pegawai-pegawai kanan dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Syarikat Takaful Brunei Sdn. Bhd. serta Ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.




