Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai penduduk tempatan menguasai sektor pekerjaan di negara ini menampakkan hasil apabila 74.6 peratus atau 139,400 orang warga tempatan menguasai sektor pekerjaan dan selebihnya, 47,500 lagi pekerjaan dikuasai oleh pekerja asing.
Menurut Kajian Tenaga Kerja (KTK) 2017 yang bermula dari 16 Oktober hingga 12 November 2017 itu, jumlah penduduk yang bekerja adalah seramai 186,900 orang terdiri daripada 103,800 orang lelaki (55.5 peratus) dan 83,100 orang perempuan (44.5 peratus).
Kajian yang dijalankan melalui Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) itu juga menunjukkan terdapat kira-kira 81,100 buah keluarga atau isi rumah dan seramai 328,500 orang adalah mereka yang berumur 15 tahun ke atas.
Taburan penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan merangkumi 91.1 peratus adalah pekerja (170,200 orang); pekerja sendiri sebanyak 5.7 peratus (10,700 orang); majikan 2.8 peratus (5,300 orang); dan pekerja keluarga 0.4 peratus (700 orang).
Seramai 75,400 orang (40.4 peratus) bekerja di sektor kerajaan dan 111,500 orang (59.6 peratus) di sektor swasta.
Taburan penduduk bekerja mengikut jenis pekerjaan pula adalah 21.3 peratus bagi pekerja perkhidmatan dan jualan menyumbang bahagian terbesar (39,900 orang); pekerja profesional sebanyak 17 peratus (31,900 orang) dan pekerjaan asas 16.9 peratus (31,600 orang).
Daripada jumlah keseluruhan penduduk yang bekerja tersebut, kira-kira 14,500 orang (7.8 peratus) adalah bekerja di sektor tidak formal.
Sektor tidak formal ini terdiri daripada perusahaan atau perniagaan swasta yang tidak berdaftar dan tidak menyimpan rekod akaun, termasuk isi rumah yang bekerja di rumah persendirian.
Purata pendapatan sebulan dari pekerjaan pada tahun 2017 adalah $1,478 bagi setiap orang yang bekerja berbanding $1,874 pada tahun 2014 dan pekerja tempatan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi sebanyak $1,579 secara purata, berbanding $1,180 bagi pekerja asing.
Jumlah penduduk yang menganggur adalah kira-kira seramai 19,200 orang dengan kadar pengangguran sebanyak 9.3 peratus. Daripada jumlah ini, seramai 8,500 orang adalah terdiri dari belia yang berumur 15 hingga 24 tahun.
Menurut KTK 2017 itu lagi, aktiviti perekonomian yang meliputi sektor kerajaan dan swasta menunjukkan pentadbiran awam menyumbang bahagian terbesar iaitu sebanyak 25 peratus (46,800 orang) diikuti oleh perdagangan borong dan runcit 14.7 peratus (27,400 orang) dan pendidikan 9.4 peratus (17,500 orang).
Objektif utama KTK 2017 ialah untuk mengumpulkan maklumat terkini mengenai saiz, struktur, taburan dan ciri-ciri tenaga kerja, pekerjaan, pengangguran dan lain-lain ciri-ciri ekonomi penduduk yang akan digunakan dalam membantu perancangan, penyelidikan, penyediaan dasar dan pengurusan tenaga kerja.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin menjelaskan, kajian ini telah meliputi kira-kira 3,200 buah keluarga terpilih di seluruh negara menggunakan kaedah pensampelan yang sistematik.
Data yang diperoleh daripada keluarga tersebut telah disesuaikan mengikut kewajaran sampel bagi mewakili seluruh penduduk di Negara Brunei Darussalam.
JPKE ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua keluarga yang terpilih di atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kajian.
Laporan penemuan ringkas KTK 2017 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE. Laporan yang lebih terperinci akan dikeluarkan melalui penerbitan akan datang.
Maklumat lanjut mengenai perkara ini bolehlah dirujuk ke JPKE di talian 2230250 atau 2230265 (waktu pejabat) E-mel: info.statistics@jpke.gov.bn dan laman sesawang www.depd.gov.bn.