Monday, December 23, 2024
28.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Thai digesa ubah tabiat susulan kes diabetes tinggi

    BANGKOK, 19 NOV – Kementerian Kesihatan Awam Thailand menggesa orang ramai supaya makan secara sihat dan kerap bersenam bagi meminimumkan risiko diabetes, ketika penyakit maut berkenaan melanda lebih 6.5 juta rakyat Thailand, atau kira-kira sepersepuluh daripada penduduk Thailand

    Bercakap sempena Hari Diabetes Sedunia baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Somsak Thepsutin berkata bahawa lebih daripada 90% pesakit diabetes di Thailand adalah jenis 2, dan kira-kira 40% tidak tahu bahawa mereka menghidap diabetes.

    Diabetes jenis 2 adalah keadaan biasa yang menyebabkan paras gula (glukosa) dalam darah menjadi terlalu tinggi.

    Ia boleh menyebabkan gejala seperti dahaga yang berlebihan, perlu membuang air kecil dan letih, namun kebanyakan penghidap tidak mempunyai gejala.

    “Untuk kekal selamat daripada ancaman diabetes yang semakin meningkat, rakyat Thailand dinasihatkan untuk mengekalkan tingkah laku yang lebih sihat. Salah satu cara paling mudah ialah mengira jumlah karbohidrat dalam makanan harian untuk mengurangkan risiko diabetes dan penyakit tidak yang berjangkit lain,” katanya.

    Somsak menambah bahawa kementerian kesihatan telah mengarahkan rangkaian sukarelawan ke kampung untuk mengajar penduduk tempatan tentan amalan mengira karbohidrat, serta menggalakkan mereka untuk makan pelbagai jenis makanan dengan mengutamakan sayur-sayuran dan buah-buahan rendah gula serta kerap bersenam.

    Ketua pengarah Jabatan Kawalan Penyakit (DDC), Dr Panumas Yanwetsakul berkata tahun ini, Persekutuan Diabetes Antarabangsa telah menetapkan tema Hari Diabetes Sedunia sebagai Diabetes dan Kesejahteraan, dengan memberi tumpuan kepada kualiti hidup dan kebahagiaan yang baik dengan menguruskan kesihatan fizikal, mental dan sosial pesakit diabetes.

    “Diabetes menjejaskan kualiti hidup pesakit secara fizikal, mental dan sosial kerana mereka menghadapi cabaran dalam menguruskan penjagaan diri untuk mengekalkan paras gula darah yang betul,” kata Panumas.

    “Mereka juga mesti menguruskan komplikasi seperti penyakit kardiovaskular, penyakit buah pinggang kronik, retinopati diabetik dan ulser kaki. Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan yang mungkin cukup teruk sehingga memerlukan amputasi,” katanya.

    Panumas turut menasihatkan mereka untuk mengambil makanan yang sihat, mengelakkan makanan masin dan berminyak, serta menghindarkan rokok dan alkohol selain melakukan aktiviti fizikal dengan lebih kerap. Jumlah yang disyorkan untuk bersenam ialah sekurang-kurangnya 30 minit sehari atau 150 minit seminggu.

    Di samping itu, mereka juga mesti memupuk kesejahteraan mental yang baik dengan mengamalkan pandangan positif serta mengurangkan tekanan dan kebimbangan daripada keperluan penjagaan diri yang berterusan, tambahnya. – ANN/The Nation

    Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda