Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warga Thai, Pusat Ehsan anjur aktiviti eratkan hubungan

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS –  Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam menganjurkan aktiviti bersama dengan pelajar-pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Puja Usia Bonda Permaisuri, Baginda Permaisuri Sirikit ke-92 yang berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini.

    Aktiviti berkenaan menyaksikan penyertaan daripada Duta Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai, komuniti Thai di Negara Brunei Darussalam, rakan-rakan Thailand serta pembekal tempatan yang menyampaikan hidangan masakan dan juadah Thai serta produk-produk Thai kepada pelajar dan kakitangan Pusat Ehsan.

    Terdahulu Ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Audrey Choo Wah bagi mewakili Pusat Ehsan menyatakan penghargaan kepada Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dan komuniti Thai di negara ini atas sokongan berterusan dan penganjuran aktiviti tahunan bagi pelajar dan kakitangan Pusat Ehsan serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan di antara masyarakat Thai dan Pusat Ehsan.

    PYT Boosara Kanchanalai menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
    Atas: PYT Boosara Kanchanalai menyampaikan hidangan makanan Thai kepada pelajar pusat berkenaan.
    Bawah: Para pelajar menerima pelbagai makanan dan produk Thai yang disediakan dalam acara berkenaan.

    Sementara itu, PYT Boosara Kanchanalai menyatakan perasaan gembira kerana sekali lagi dapat mengadakan aktiviti bersama pelajar Pusat Ehsan pada majlis istimewa berkenaan. Menurut beliau, ia juga merupakan peluang yang amat baik bagi komuniti Thai di Negara Brunei Darussalam untuk bersama-sama membawa keriangan kepada para pelajar pusat berkenaan.

    PYT Boosara Kanchanalai juga menyatakan kegembiraan dengan peningkatan jumlah penyertaan komuniti Thai dan rakan-rakan Thai yang menyumbang serta menjayakan aktiviti istimewa itu.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan daripada penyumbang ke Pusat Ehsan.

    Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dan komuniti Thai di Brunei sentiasa menyokong serta menyumbang kepada aktiviti-aktiviti mengumpul dana pusat berkenaan menerusi penyertaan dalam pelbagai aktiviti amal anjuran pusat berkenaan.

    Sumbangan kepada Pusat Ehsan yang diterima oleh Audrey bagi pihak pusat berkenaan.
    PYT Boosara Kanchanalai bergambar ramai dengan komuniti Thai serta pelajar dan kakitangan Pusat Ehsan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda