Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 20 OGOS – Bagi menyediakan platform untuk mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan orang ramai menonjolkan kemahiran dan sentuhan kreativiti dalam bidang kulinari dan seni gubahan, Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Tutong telah mengadakan Pameran Urusan Rumah Tangga di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 itu ialah isteri Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Pengerusi pameran, Hajah Ainah binti Datu Hulubalang Haji Abdul Wahad berkata bahawa pada tahun ini sebanyak 270 penyertaan telah diterima bagi 18 jenis masakan dan gubahan yang dipertandingkan di bawah tiga kategori iaitu Kategori A untuk Jenis Masakan dan Sayuran; Kategori B bagi Jenis Kuih-Muih; dan Kategori C merangkumi Gubahan Kraftangan dan Bunga Hidup.
Menurut beliau, penyertaan pertandingan berkenaan adalah terbuka kepada semua penduduk yang bermastautin di Daerah Tutong termasuklah kaum lelaki.
Beliau sekali gus turut merakamkan kesyukuran dan penghargaan yang tidak terhingga di mana pameran pada tahun ini telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan.
Hampir 50 peratus peserta adalah peserta baharu dan daripada golongan anak muda. Ia sebagai petanda baik bahawa acara tersebut telah dapat menarik minat anak-anak muda di daerah itu.