Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Warga Universiti Brunei Darussalam (UBD) tidak ketinggalan memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan majlis sambutan di universiti tersebut, hari ini.
Pada tahun ini, selain mengadakan Majlis Berdikir 12 Malam di Masjid Universiti, UBD, warga universiti juga melaksanakan program Quranic Journey: Sesi Tadabbur Al-Quran yang menggariskan tema sambutan kebangsaan iaitu ‘Sunnah Dihayati, Hidup Diberkati’ melalui perkongsian cerita dalam Surah Yusuf, yang disampaikan oleh Pensyarah dari Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, UBD, Dr Khalil Ahmad.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Naib Canselor UBD, Profesor Madya Pengiran Dr Muhamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Turut hadir ialah para pegawai utama, pensyarah-pensyarah, para pegawai, kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi UBD serta orang awam.
Sesi Tadabbur Quran berkenaan turut dikongsikan secara langsung menerusi dalam talian secara menggunakan Microsoft Teams.
Majlis dikelolakan bersama Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UBD bersama Jawatankuasa Keagamaan UBD dan juga Persatuan Mahasiswa UBD.