LONDON, 16 MEI – Seorang lelaki Ukraine berusia 21 tahun didakwa atas tiga pertuduhan membakar dengan niat untuk membahayakan nyawa melibatkan dua hartanah dan sebuah kereta yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, lapor PA Media/dpa.
Polis Metropolitan (Met) memaklumkan bahawa Roman Lavrynovych dijadual hadir di Mahkamah Majistret Westminster hari ini.
Lavrynovych ditahan di sebuah alamat di Sydenham, tenggara London pada Selasa lalu dan didakwa kelmarin.
Menurut polis, siasatan diketuai oleh pegawai daripada Unit Perintah Antikeganasan Met disebabkan kaitan kes itu dengan tokoh awam berprofil tinggi.
Ketua Bahagian Keganasan CPS, Bethan David berkata pertuduhan itu berkaitan dengan dua kebakaran di alamat kediaman di Islington Ahad lalu, 11 Mei dan di Kentish Town pada Isnin, 12 Mei, serta kebakaran kereta di Kentish Town pada Khamis, 8 Mei.
Pada Isnin lepas, pihak kecemasan bertindak balas terhadap kebakaran di rumah Kentish Town yang pernah didiami oleh Starmer sebelum beliau menjadi Perdana Menteri dan berpindah ke 10 Downing Street. – Bernama
