BACHOK, 30 OGOS – Kira-kira 500 warga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini tampil berbeza baru-baru ini apabila megah berbusana Melayu sempena sambutan Bulan Kebangsaan peringkat universiti tersebut.
Naib Canselor UMK Prof Dr Razli Che Razak berkata buat julung kalinya, warga kampus terdiri daripada petugas dan pelajar universiti meraikan Bulan Kebangsaan dalam suasana perkampungan tradisional Melayu.
“Sambutan kali ini diadakan secara tradisional simbolik kepada perjuangan serta mengambil semangat pahlawan Melayu seperti Mat Kilau dan Tok Janggut.
“Warga UMK hari ini berpakaian Melayu lengkap seperti bertengkolok serta memakai kain lepas atau semutar Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Peringkat UMK baru-baru ini.
Razli berkata pelbagai aktiviti turut diadakan seperti deklamasi sajak, pidato kemerdekaan, nyanyian lagu patriotik dan gotong-royong memasak bubur Asyura.
“Turut diadakan perarakan enam ekor kuda membawa Jalur Gemilang di sekitar kawasan kampus.
“Kemuncak sambutan ialah menaikkan Jalur Gemilang se-tinggi 130 meter menggunakan belon,” katanya. – Bernama
