DA NANG, 9 JULAI – Seorang warga Vietnam maut selepas terjatuh ke dalam hutan ketika melakukan paragliding kelmarin di Semenanjung Son Tra Da Nang, menurut pihak berkuasa dari Wad Son Tra.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kira-kira jam 5:30 petang kelmarin, Hoang Quoc Tuan berusia 37 tahun dari wilayah Hung Yen mengikuti kursus paragliding yang disediakan oleh Tropical Forest Company.
Tuan terbang bersama seorang pengajar penerbangan – juruterbang paragliding, Le Manh Phu.
Warga Vietnam itu duduk di hadapan, manakala Phu duduk di belakangnya untuk mengawal payung terjun.
Pihak berkuasa melaporkan kedua-duanya terbang di semenanjung Son Tra apabila Tuan tiba-tiba jatuh ratusan meter ke dalam hutan, manakala Phu terbang lebih jauh sebelum terhempas di pantai. Phu kemudiannya telah dibawa ke hospital.
Anggota penyelamat memasuki hutan untuk mencari Tuan selepas kejadian itu dilaporkan.
Pada jam 7:25 malam hari yang sama, mayatnya ditemui di dalam hutan berhampiran Pusat Peranginan Bien Dong.
Timbalan pengarah Jabatan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Da Nang, Nguyen Trong Thao, berkata pihak berkuasa sedang berusaha untuk menyiasat punca kematian warga Vietnam itu. — ANN/VietNamNews
