Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 8 SEPT – Ahli Persatuan WARGAMAS telah menganjurkan Program Minal Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS (IPPW) Ilal Masjid ke Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin dan isteri. Turut hadir, Pengulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin. Mengetuai persatuan tersebut ialah pengerusinya, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, yang seterusnya memberi ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat sekali gus memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Jumuah bermula dari ayat pertama hingga sembilan oleh Awang Haji Akup bin Haji Kassim.
Majlis kemudian diikuti dengan Dikir Assalamualaika, Bisyahrin dan Selawat Badriah. Majlis turut diserikan lagi dengan Dikir Marhaban.
Majlis diakhiri dengan sumbangan dalam bentuk keperluan makanan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada dua penerima warga emas yang kurang bernasib baik bagi membantu meringankan beban mereka.








