Gara-gara memuat naik foto sambutan Aidilfitri tanpa kelibat suami tercinta, pelakon Laudya Cynthia Bella menerima pelbagai persoalan dan komen daripada pengikut Instagram miliknya.
Menurut laporan Liputan6, Laudya memuat naik fotonya sendirian bersama ucapan ringkas bersempena sambutan Aidilfitri pada Isnin lalu.
“Selamat Hari Raya daripada kami! (saya bersama beg dan selendang kegemaran),” tulisnya.
Posting tersebut dipercayai merupakan muat naik berbayar daripada salah satu jenama popular antarabangsa.
Bagaimanapun, rata-rata pengikut melihat daripada sisi berlainan apabila bertanyakan mengenai keberadaan suaminya, Engku Emran.
“Kenapa tak pernah bergambar dengan suami, pergi mana sudah?
“Tak pernah nampak gambar berdua. Inikan Hari Raya, mana foto keluarga?,” komen warganet.
Sehingga kini, pelakon filem Syurga Yang Tak Dirindukan ini terus mengunci mulut mengenai hubungan rumah tangga mereka.
Laudya pernah memberitahu dia tidak akan berkongsi foto bersama suami di media sosial kerana ingin menjaga privasi. – Agensi
