Perkongsian pasangan personaliti media sosial Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae membesarkan anak perempuan mereka dalam dua budaya iaitu Melayu dan Korea sering mencuri perhatian orang ramai.
Ramai memuji pasangan mesra disapa DurianKimchi itu yang mendedahkan anak mereka Rina, 4, bukan sahaja terhadap bahasa tetapi budaya dan makanan kedua-dua negara.
Pun begitu, pemikiran cetek segelintir masyarakat Malaysia menganggap cara Ryzal membesarkan anaknya tidak berlandaskan ajaran Islam sebenar apabila membenarkan Rina menikmati juadah Korea Selatan.
Tidak hanya sedih, Ryzal juga kesal apabila masih ada orang yang gagal membezakan agama serta budaya dalam kehidupan seharian.
“Apa kena mengena isteri masuk Islam nak kena beri dia makanan Melayu? Mana boleh kaitkan agama dengan budaya? Islam itu bukan Melayu sahaja!
“Semakin lama, makin ramai pula manusia berfikiran cetek dan percaya apabila seorang individu itu peluk Islam mereka wajib terima budaya Melayu,” katanya ketika dihubungi mStar kelmarin.
Ryzal mengulas beberapa komen warganet di laman sosial miliknya yang mempertikaikan tindakan Maryam yang juga seorang mualaf memberi makanan Korea kepada anak mereka dan meminta mereka menghidangkan masakan Melayu.
Dalam pada itu, Ryzal bertindak membalas beberapa komen ditinggalkan menggunakan bahasa keras sebagai pengajaran kepada mereka yang gagal menjaga adab di media sosial.
Tindakannya itu juga sebagai mempertahan dan menjaga emosi Maryam yang sedang sarat hamil anak kedua mereka.
“Tugas saya melindungi perasaan dan hati isteri saya apatah lagi dia sedang sarat hamil.
“Dia dah penat-penat beli barang dapur sampai kena cari kedai Korea, memasak untuk anak kami.
“Nak sediakan makanan Korea bukannya senang dan saya sahaja tahu macam mana susahnya dia nak siapkan makanan anak kami,” jelasnya. – Agensi