Penyanyi Meer Nash tidak patah semangat meskipun menerima banyak kecaman termasuk memintanya berhenti menyanyi.
Tidak terkesan dengan komen negatif itu, Meer Nash atau Muhammad Shameer Mohd Nasrul, 29, berkata dia tetap menaruh harapan untuk menjadi seorang penyanyi terkenal satu hari nanti.
“Saya masuk industri ini sendirian dan belajar daripada kesilapan sebelum ini, walaupun mungkin keputusan saya buat tak betul tapi keluarga tetap menyokong dan memberikan respons positif terhadap saya.
“Walaupun ramai yang kecam kata suara saya kurang sedap atau sebagainya tapi saya percaya dengan guru profesional iaitu Cikgu Shafi sebab dia kata nada suara saya sedap, cuma kena asah bakat saja,” kata Meer Nash kepada mStar.
Dalam pada itu, Meer Nash memberitahu dia bercadang menceburi bidang lakonan untuk mempelbagaikan cabang dalam karier seninya.
“Kalau diberikan peluang memang saya nak ceburi bidang lakonan, sebenarnya tahun ini saya punya sasaran untuk berlakon sikit-sikit, pengurusan saya pun ada sarankan untuk pergi ke kelas lakonan sebelum mula ambil tawaran berlakon,” ujarnya. – Agensi