Disebabkan berjoget sakan di TikTok, pendedahan penyanyi rap Caprice bahawa isterinya, Farra Innalis terkena sihir dipersoalkan warganet.
Tampil menjelaskan perkara tersebut, Farra berkata, dia enggan menunjukkan keadaan dirinya yang lesu dan tidak selera makan kepada pengikut kerana ia bukan sesuatu yang positif untuk dikongsi kepada umum.
“Pertama sekali, sejak akhir-akhir ni saya banyak terima DM daripada kamu dan saya baca semua. Ada yang mendoakan, ada juga menceritakan tentang sihir.
“Tapi ada juga warganet yang mula menghakimi saya sebab ‘oh sebab kau tak pakai tudung la kau kena kacau dengan makhluk halus’.
“Ada juga beritahu dekat Instagram suami kena sihir, tapi dalam platform TikTok berjoget-joget pula. Eh abang kakak, apa yang awda harapkan? Awda mahu saya tunjuk muka tengah lesu?

“Nak saya bercerita yang saya tak lalu makan apa? Saya tak suka bagi benda negatif pada pengikut saya. Jadi kalau tak ada benda positif, saya diam,” kata Farra.
Pada Selasa lalu, Caprice atau Ariz Ramli mendedahkan isterinya berdepan sihir sehingga jatuh sakit dipercayai akibat perbuatan khianat dan rasa tidak puas hati individu tertentu.
Menerusi perkongsian berkenaan, Caprice berkata mereka sudah mencuba pelbagai kaedah rawatan termasuk secara alternatif namun Farra masih belum menunjukkan tanda positif.
Dalam pada itu, Farra mengakui dia pada awalnya tidak bersetuju dengan tindakan suaminya berkongsi mengenai dirinya mengalami gangguan sihir kepada umum.
“Kalau nak tahu, secara peribadi saya dan suami sangat berbeza. Sebab apa, saya lebih suka simpan sendiri kalau Ariz pula suka bercerita dengan warganet.
“Dia suka ambil input daripada para warganet macam kongsi pengalaman, dia suka ambil tahu benda itu. Sebenarnya kami ada berbalahan juga mengenai sihir ini.
“Saya tidak mahu orang tahu, tidak perlu beritahu semua orang sebab orang tak suka kita itu akan tepuk tangan bila tahu benda itu. Tapi Ariz cakap biarlah, kita ada Allah, kita percaya dengan Allah,” ujarnya. – Agensi