Pelakon dan pengarah, Khir Rahman memilih untuk bersikap profesional digandingkan bersama Fauziah Ahmad Daud dalam telefilem Pencipta Pegang Waktu yang baru selesai menjalani penggambaran baru-baru ini.
Khir atau Khairulizam Abdul Rahman, 47, berkata isu tuntutan bayaran tertangguh teater sebelum ini hanya membabitkan mereka berdua dan tiada kaitan dengan produksi telefilem berkenaan.
“Ini pertama kali kami bergandingan semula selepas isu itu… apabila berada di set penggambaran saya kena profesional sebab yang ada masalah hanya kami berdua, tenaga kerja lain tak ada kaitan, jadi tak bolehlah bawa masalah itu ke lokasi.
“Saya sebagai pihak yang menuntut hutang mungkin tak rasa janggal sangat, tapi di pihak dia mungkin ada rasa lain! Apa-apa pun saya cuba elakkan rasa serba salah itu supaya penggambaran kami semua lancar.
“Alhamdulillah proses penggambaran berjalan baik tanpa timbul sebarang isu. Kami dah kenal lama dan industri kita pun kecil… ke mana pergi tetap akan berjumpa!,” katanya kepada mStar.

Baru-baru ini, tersebar foto Khir bersama Fauziah atau Ogy dan Que Haidar menjalani penggambaran telefilem tersebut di laman Instagram.
Rata-ratanya memuji sikap profesional yang ditunjukkan oleh Khir sepanjang berlakon dalam telefilem istimewa sempena Aidiladha ini.
Sementara itu, Khir berkata, dia sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak produksi mengenai penglibatan Ogy dalam telefilem berkenaan.
“Ya! saya tahu Ogy ada berlakon sekali setelah dimaklumkan produksi… saya tiada masalah untuk berlakon sama.
Ditanya mengenai bayaran teater yang masih belum dilunaskan, Khir berkata mereka masih belum menerima bayaran tertangguh itu.
Bagaimanapun dia dapat melihat usaha yang dilakukan oleh pelakon filem Ali Setan itu dalam menyelesaikan masalah itu. – Agensi