Wednesday, October 23, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warisan Brunei tawan hati Naib Presiden China

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Naib Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Han Zheng serta rombongan mengadakan lawatan ke Pusat Sejarah Brunei (PSB) dan Muzium Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Ketibaan TYT Han Zheng di PSB dialu-alukan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    TYT Han Zheng serta rombongan mengadakan lawatan dengan mengunjungi galeri-galeri pameran PSB termasuk Dewan Pameran Salasilah, Galeri Koleksi Manuskrip Borneo, Galeri Sejarah Brunei Tua serta Galeri Era Kegemilangan Brunei.

    Antara yang menjadi tumpuan tarikan TYT Han Zheng serta rombongan ialah replika Prasasti Royal Bixi yang terdapat di PSB yang mempunyai ukuran yang sama dengan yang ada di Makam Raja Boni di Nanjing, China.

    Terdapat catatan diukir indah dan menarik yang menggambarkan bermulanya hubungan diplomasi di antara Brunei dengan China yang terletak di atas badan seekor kura-kura dikenali sebagai Royal Bixi.

    Selepas lawatan di PSB, TYT Han Zheng serta rombongan mengadakan lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja dengan ketibaannya telah dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, KKBS, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.

    Semasa lawatan berkenaan, TYT Han Zheng serta rombongan diberikan penerangan mengenai sejarah Muzium Alat Kebesaran Diraja dan juga alat-alat kebesaran yang menunjukkan kepelbagaian kreativiti hasil kraf tangan Melayu di Negara Brunei Darussalam.

    Lawatan TYT Han Zheng ke PSB dan Muzium Alat Kebesaran Diraja merupakan sebahagian daripada program lawatan yang lebih meluas ke Negara Brunei Darussalam yang telah bermula kelmarin hingga esok.

    Pengiran Haji Mohd Hasnan memberi penerangan kepada TYT Han Zheng semasa lawatan ke PSB, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    TYT Han Zheng mendengar penerangan semasa lawatan ke Muzium Alat Kebesaran Diraja. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda