Thursday, October 3, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Warisan sokong tambahan kerusi parlimen untuk Sabah

    KOTA KINABALU, 2 OKT – Parti Warisan (Warisan) hari ini menyatakan komitmennya untuk memberikan sokongan sekiranya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah dibawa ke Parlimen.

    Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana keluasan dan jumlah pengundi di sesebuah kawasan di Sabah antara asas penting untuk penambahan bilangan kerusi Parlimen baharu di negeri itu.

    Mengambil contoh Kinabatangan dan Lahad Datu, Mohd Shafie berkata keluasan kedua-dua daerah itu adalah lebih besar dari Perlis, namun hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen berbanding tiga Ahli Parlimen di Perlis.

    “Penambahan bilangan kerusi Parlimen di Sabah adalah perlu untuk memastikan keberkesanan dalam aspek pengurusan pentadbiran rakyat,” kata Ahli Parlimen Semporna itu kepada pemberita selepas Program Sembang Santai Bersama Media di Kota Kinabalu, hari ini.

    Semalam, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Sabah mencadangkan pertambahan kerusi Parlimen bagi memenuhi kuota 35 peratus atau satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen di negara ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Sabah dan Sarawak ketika ini mempunyai 56 kerusi Parlimen dengan 31 di Sarawak dan 25 di Sabah daripada keseluruhan 222 kerusi.

    Ia hanya 25 peratus berbanding 74 kerusi Parlimen sepatutnya dimiliki kedua-dua negeri dan memerlukan pertambahan 18 lagi kerusi Parlimen dengan mengambil kira 35 peratus atau satu pertiga seperti termaktub dalam MA63. – Bernama

    Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) membincangkan sesuatu dengan ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Tun Said ketika menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16, pada 9 Julai – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda