Wednesday, April 24, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Warisi tradisi memetik rubarb bercahayakan lilin

    PUDSEY, UNITED KINGDOM – Robert Tomlinson memetik tangkai rubarb dengan diterangi cahaya lilin dalam keadaan gelap, meneruskan tradisi keluarga berusia berdekad-dekad lamanya yang bertahan sehingga hari ini meskipun cabaran yang ditimbulkan kepada perniagaannya akibat Brexit dan perubahan iklim.

    Selama empat generasi, keluarga Tomlinson telah mengamalkan ‘rubarb yang bertumbuh secara paksa’ dalam bulan-bulan sejuk di ladang mereka di Pudsey, utara England, dan sedang mengaut keuntungan lumayan hasil daripada kebangkitan semula dalam kepopularan tanaman tersebut.

    Ratusan batang berwarna merah muda cerah daripada jenis ‘Harbinger’ mencecah siling selepas tumbuhan itu dibawa masuk ke dalam bangsal dari ladang untuk diproses di dalam bangunan.

    Suhu dikekalkan panas pada kira-kira 14 darjah Celsius dan keadaan hampir gelap-gelita.

    Dengan udara yang sederhana, ‘kami memaksa tanaman ini memikirkan seolah-olah ia adalah musim bunga,’ kata Tomlinson, 41, ketika dia berjalan di sekeliling tanamannya, yang menerima faedah daripada kempen perlindungan asal-usul oleh kerajaan.

    Petani Robert Tomlinson memetik rubarb dengan bercahayakan lilin di ladangnya di Pudsey. – AFP
    Rubarb diterangi cahaya lilin ketika ia dipetik. – AFP
    Tanaman rubarb yang telah dipetik oleh Robert Tomlinson dengan diterangi cahaya lilin menunggu untuk diperiksa dan dibungkus di ladangnya di Pudsey. – AFP
    Rubarb yang tidak bermutu baik kelihatan dibuang di pinggir ladang di Pudsey. – AFP
    Pekebun Paula Tomlinson mengasingkan dan memberikan gred kepada rubarb di ladangnya. – AFP

    Tanpa kehadiran cahaya yang lebih kuat, tanaman berkenaan tidak dapat menghasilkan klorofil dan gula yang disimpan dalam tangkai dan bukannya daun dengan tujuan mengekalkan warnanya, ‘maka awda mendapat batang yang jauh lebih lembut dan lebih manis berbanding dengan apa yang awda proses dengan pokok rubarb yang dipetik di luar rumah pada musim panas.’

    Tangkai atau batang dengan itu boleh dipetik pada musim sejuk, apabila tidak banyak buah dan sayur segar dihasilkan di Britain, dan dijual dengan harga lebih tinggi berbanding rubarb jenis lain, yang biasanya dipetik pada Mei.

    “Awda boleh mendengar ia tumbuh membesar, ia menghasilkan bunyi seperti pop,” menurut Tomlinson, di mana ladangnya terletak di kawasan Yorkshire yang terkenal sebagai ‘segi tiga rubarb’ Britain disebabkan kepadatan pekebun yang ada di sana.

    Moyangnya mula menanam tanaman itu, yang berasal di Asia dan Rusia, pada lewat 1880. Sehingga 1960, rasanya yang masam serta bau yang menusuk hidung adalah popular di Britain.

    Namun tanaman rubarb menjadi tidak popular lagi dan kebanyakan petani mengabaikan tanaman tersebut. Hari ini hanya terdapat 10 pekebun yang tinggal di Yorkshire, menurut Tomlinson, berkurangan daripada tahap kemuncak lebih daripada 200 orang.

    Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, cef mula menggunakan rubarb dalam masakan mereka.

    Mereka termasuk Tom Cenci daripada 26 kumpulan Grains, yang mengurus restoran mewah di London dan menggunakan kebanyakan hasil keluaran Britain.

    “Resipinya tidak habis-habis,” katanya, sebelum memasak secara saute beberapa batang rubarb dalam jus oren, menambah gula dan sedikit halia.

    Rubarb yang ditanam secara paksa membesar di dalam bangunan ‘mempunyai rasa yang agak manis’, dan rubarb yang ditanam di luar boleh menjadi lebih ‘berserabut’. Cenci menyarankan menggabungkannya dengan ikan atau itik.

    Rubarb yang ditanam secara paksa juga digunakan dalam minuman, daripada soda berperisa kepada gin, wain yang membuih dan sirap.

    Tomlinson berkata pelbagai kegunaan rubarb telah membantunya mengharungi penutupan restoran UK semasa sekatan pandemik yang dikenakan berturut-turut.

    Permintaan asing juga membantu, daripada restoran dan hotel di Paris, Berlin, Zurich malah New York, katanya.

    Namun disebabkan pemeriksaan kastam baharu sejak Britain meninggalkan pasaran tunggal Kesatuan Eropah, ‘adalah jauh lebih mahal untuk menghantarnya ke Eropah sekarang.’

    Dan seperti petani lain di Britain, pekebun rubarb sedang bergelut dengan kekurangan pekerja.

    “Kos telah naik. Terdapat banyak pekerjaan di luar sana yang membayar gaji lebih tinggi,” kata Tomlinson.

    Isterinya Paula membantunya pada hujung minggu, begitu juga dengan anaknya yang berusia 13 dan 14 tahun.

    Cuaca yang lebih sejuk dicetuskan oleh perubahan iklim juga mendatangkan manfaat.

    Tanaman itu memerlukan satu tempoh masa sejuk pada musim luruh ‘untuk mendapatkan semula tenaga sebelum kami membawanya ke bangsal’ untuk dipetik dalam bangsal.

    Namun Tomlinson masih berpegang kepada tradisi perniagaan yang wujud sejak era moyangnya.

    “Cara kami menanam adalah hampir sama seperti masa dahulu disebabkan tidak ada lagi cara lain untuk melakukannya.

    “Maka saya akan meneruskan memetik tanaman rubarb dengan diterangi cahaya lilin, menggunakan tangan,” kata petani itu. “Tiada mesin untuk melakukannya.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...