Penampilan seperti rambut beruban bukan lagi sesuatu yang takuti, kata Maria. Sebaliknya, ramai yang telah menerima pelbagai warna seperti perak, putih dan kelabu untuk rambut mereka.
Walaupun ada yang memilih untuk memadankan rambut beruban mereka dengan mewarnakan keseluruhan rambut, memilih warna kelabu atau putih adalah satu langkah yang besar dan berani.
Bagi mereka yang belum bersedia untuk perubahan besar itu, menggabungkan warna kelabu mungkin sesuai untuk awda.
Majalah Vogue mentakrifkan penggabungan warna kelabu sebagai proses yang berbeza daripada menyembunyikan atau penutupan uban kerana ia sesuai dengan proses tumbuh uban semula jadi untuk mencipta kepelbagaian kesan warna.
Teknik tersebut menggabungkan helaian warna kelabu dengan warna rambut semula jadi awda, pada tempat atau bahagian yang awda inginkan.
PENDEKATAN PERALIHAN
Kini banyak salun menawarkan pelbagai pilihan gabungan warna kelabu, untuk disesuaikan dengan setiap pelanggan.
Pengarah, pengurus dan pendandan rambut bagi Salun Rambut Antarabangsa Aube, Steve Lee, menggambarkan menggabungkan warna kelabu sebagai mendapatkan tona keperakan-kelabu untuk menjadikan rambut beruban tidak kelihatan ketara.
“Ia adalah pendekatan yang menggabungkan warna kelabu dengan warna yang serupa dengan rambut semula jadi awda. Ia adalah pilihan yang membolehkan awda menyerasikan dan mengimbangi rambut awda yang beruban, bukan untuk menyembunyikannya,” kata Lee.
Trend itu sangat popular sehingga orang yang belum ditumbuhi uban pada rambutnya sedang bereksperimen dengan warna putih, perak dan kelabu.
“Ramai anak muda telah menggunakan warna ini dan terus terang, saya telah melakukan ‘balayage’ (teknik penyerlahan bagi menghasilkan kesan semula jadi) ke atas pelanggan yang berumur dari 20an sehingga mereka yang berumur 50an, 60an dan lebih tua.”
Bagi pengarah teknikal artistik Portfolio Hair Studio, Teng Wong, menggabungkan warna kelabu ialah pendekatan penjimatan yang lebih rendah untuk mewarnakan rambut seseorang dan satu cara untuk menerima keindahan menjelang penuaan.
“Menggabungkan warna kelabu menawarkan pendekatan peralihan,” kata Wong.
“Walaupun ia mungkin tidak sesuai dengan semua orang, keserasiannya bergantung pada faktor seperti warna kulit dan bukannya usia sahaja.”
“Ia membantu melembutkan kontras antara keduanya, menghasilkan penampilan yang lebih semula jadi,” tambahnya.
Seorang model dan ibu kepada dua anak, Deanna Ibrahim, memutuskan untuk mencuba campuran warna kelabu selepas kakaknya mula bereksperimen dengan gaya itu.
“Saya tidak pernah mewarnakan rambut saya sebelum ini sehinggalah rambut saya ditumbuhi uban,” kata Deanna.
Tambahnya lagi,”Saya bosan menunggu keseluruhan rambut menjadi beruban, jadi saya memutuskan untuk mencuba campuran warna kelabu.”
“Rasanya bagus untuk menyerlahkan rambut berwarna kelabu kerana rambut saya lebih kelihatan bermaya sekarang dan saya suka warnanya. Ia juga mengurangkan pengurusan rambut saya,” Ujarnya.
Menurut Wong, teknik tersebut sangat versatil kerana ia boleh disesuaikan bagi orang yang berbeza umur dan gaya hidup, dengan mengambil kira faktor-faktor seperti warna kulit dan gaya peribadi.
PENAMPILAN PELBAGAI DIMENSI
Penggabungan warna kelabu melibatkan penggunaan strategik mewarnakan rambut secara keseluruhan, sebahagian atau balayage untuk melengkapkan atau menyerlahkan rambut warna kelabu semula jadi.
Balayage memberikan dimensi rambut dengan rambut yang diwarnakan sepenuhnya, memberikan penampilan berbilang dimensi dan kelihatan semula jadi.
Lee menjelaskan bahawa proses penggabungan warna kelabu melibatkan pemberian warna pada rambut yang tidak berpigmen, serta meninggalkan sebahagian daripada rambut semula jadi sebagaimana adanya.
“Masih terdapat bahan kimia yang terlibat kerana tidak semua rambut akan menjadi 100 peratus putih, masih terdapat 20 hingga 40 peratus rambut berpigmen, oleh itu pelunturan masih diperlukan,” katanya.
“Sejenis toner akan digunakan untuk menyerasikan mana-mana warna kekuningan,” tambahnya sambil menjelaskan bahawa toner ialah produk pewarna rambut separuh kekal seperti gel yang mengekalkan warna pada rambut buat sementara waktu untuk meningkatkan atau melembutkan warna.
“Memandangkan pewarna dalam toner adalah separa kekal, jadi rambut akan kehilangan ‘maya’ setiap kali dicuci, tetapi biasanya akan bertahan kira-kira empat hingga enam minggu. Menyembunyikan atau menutup uban dengan pigmen berwarna mendedahkan rambut kepada bahan kimia dalam proses menambah pigmen warna pada folikel rambut, “katanya.
Dia menambah bahawa apabila rambut diwarnakan hitam atau warna coklat yang sangat gelap, hampir mustahil untuk dicerahkan. Sekiranya pelanggan ingin mempunyai tone yang lebih cerah, tanpa menyebabkan kerosakan yang belebihan pada rambut, campuran kelabu adalah teknik alternatif.
SEDIKIT LEBIH DARI CUKUP
Bagi mereka yang lebih suka penjagaan warna rambut yang mempunyai kos rendah, teknik gabungan warna kelabu adalah pilihan yang tepat.
“Memandangkan tumpuan adalah pada penggabungan beberapa helaian rambut daripada menutup semuanya dengan warna kelabu, pertumbuhan semula rambut menjadi kurang ketara, dan ini boleh mengurangkan kekerapan untuk pergi ke salon,” kata Wong.
Penjagaan termasuk rawatan setiap tiga bulan, dan Wong mengesyorkan untuk pergi ke salun bagi perkhidmatan toning.
Penggunaan produk pelindung UV adalah penting bagi rambut putih yang terdedah kepada kerosakan UV, dan penggunaan produk syampu berwarna perak secara mingguan adalah disyorkan.
“Ia sangat bergantung kepada individu. Bagi golongan muda yang tidak beruban secara semula jadi, pertumbuhan semula agak ketara, justeru sentuhan akan diperlukan dengan kerap (sebulan sekali),” tambahnya.
Bagi Wong, gabungan warna kelabu, merupakan gaya yang sesuai untuk mereka yang mempunyai jadual sibuk, dan ia juga adalah teknik pendekatan paling sesuai bagi meningkatkan warna rambut semula jadi seseorang.
“Teknik gabungan warna kelabu bertujuan untuk meningkatkan kecantikan semula jadi individu, di samping menerima keunikan kualiti rambut mereka sebagai penampilan yang segar dan bersinar,” katanya. – ANN/TheStar