Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Warna-warni gerai pensel di Bazar Tehran

    Gambar AFP

    TEHRAN – Di sudut yang bercahaya malap di Grand Bazaar Tehran, Mohammad Rafi dikelilingi oleh warna warni pelangi di kedai kecilnya yang tidak menjual apa-apa selain pensel warna.

    Dunia mungkin telah berubah menjadi digital, tetapi Rafi tetap setia dengan minatnya terhadap pensel warna selama 35 tahun, dikelilingi oleh beribu-ribu pensel dalam setiap warna.

    Dengan pensel yang disusun dari lantai ke siling, kedai kecilnya telah menjadi percikan warna fotogenik, tersembunyi jauh dalam pasar yang dikenali sebagai ‘bandar dalam bandar’.

    “Saya tidak tahu berapa jumlah pensel tetapi saya mempunyai kira-kira 200 warna,” kata pemilik kedai Medad Rafi, yang bermaksud pensel Rafi, yang berusia 50 tahun itu.

    Mencari di mana letak kedainya adalah seperti misi pencarian harta karun melalui lorong dan laluan pasar bertingkat di tengah-tengah ibu kota Iran.

    Minatnya yang sangat mendalam membuatkan Mohammad Rafi menjadikan penjualan pensel warna sebagai kerjayanya.

    Walaupun tidak membeli, Mohammad Rafi seronok melayani pelanggan yang datang ke kedainya.
    Mohammad Rafi menunjukkan sebahagian koleksi pensel warnanya yang ada di kedai kecilnya.
    Gambar menunjukkan pensel warna yang dipamerkan di kedai Mohammad Rafi di bazar di Tehran.
    Mohammad Rafi, seorang penjual pensel warna di Grand Bazaar di Tehran, duduk di kedainya.
    Mohammad Rafi melayan pelanggan, seorang budak perempuan di kedainya di bazar Tehran.

    Kedai pensel itu mempunyai keluasan seluas tiga meter persegi di bahagian seni dan kraf di mana dia telah menerima ramai pelanggan daripada pelbagai peringkat generasi.

    “Setiap kali pelanggan muncul, saya merasa seronok, walaupun mereka tidak membeli apa-apa,” Rafi tersenyum.

    Dia kemudian menghabiskan 10 minit menasihati seorang pelajar sekolah untuk mencari dua pensel, satu biru, satu jingga setelah mencuba pelbagai jenis warna dengan mencoret pada kertas lukisan di kaunter.

    Warna dan tekstur

    “Bergantung kepada apa yang mereka mahu lakukan dengannya, saya menasihati pelanggan mengenai warna, tekstur atau jenama,” kata Rafi, yang hanya menjual pensel secara individu, bukan menggunakan kotak.

    Dia berbangga untuk memenuhi semua permintaan pelanggan, menawarkan pensel buatan dalam negara atau yang di import dari Eropah dan Amerika.

    “Pensel paling mahal berharga 100,000 toman atau sekitar dua euro,” katanya, “tetapi ia adalah salah satu yang terbaik.”

    Seorang pencinta lukisan sejak kecil, Rafi sentiasa memuja dan mencintai pensel warna dan selepas pengajian teknikalnya pada 1980an, dia memulakan kehidupan profesionalnya di sebuah syarikat pembuatan pensel sebelum membuka kedainya sendiri.

    Dia tahu bahawa pada zaman teknologi tinggi dan skrin sesentuh, pensel warna itu telah mencapai dan melepasi zaman keemasannya, dia suka mengimbas kembali nostalgia pada abad lalu apabila semua kanak-kanak membawa alat tersebut di dalam beg sekolah mereka.

    Tidak seperti kebanyakan pemilik kedai lain di bazar, dia tidak akan menyerahkan perniagaan itu kepada anaknya, seorang doktor terlatih “yang tidak berminat dengan kerja
    dan seni ini”, katanya.

    Walau bagaimanapun Rafi merancang untuk terus melayani pelanggan setianya, memenuhi setiap keperluan kreatif mereka, termasuk beberapa pensel yang tidak lagi dihasilkan sehingga dia bersara.

    “Nasib baik saya mempunyai stok yang besar terkumpul selama bertahun-tahun,” kata Rafi sambil menunjukkan pensil tertua yang dimilikinya yang dibuat 72 tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...