Oleh Raz AS
Koi, keindahan warna-warninya memukau jutaan peminat ikan hiasan.
Ikan daripada spesies kap atau nama saintifiknya, cryprinus rubrofuscus, ini selalu menghiasi kolam-kolam di taman mahupun di halaman rumah, menyerikan lagi keindahan landskap. Kaya dengan sejarah dalam budaya Asia, sehingga mencecah ribuan tahun, meskipun mempunyai corak warna yang sama ia tidak mempunyai kaitan dengan spesies ikan emas.
Koi, juga kadang-kadang digelar sebagai Koi Jepun berasal daripada singkatan nama panggilannya dalam Bahasa Jepun, Nishikigoi, yang membawa maksud ‘permata berenang’. Dalam budaya Jepun, ikan koi dianggap sebagai simbol tuah, kemakmuran dan nasib baik.
Pertama kali dipamerkan di Tokyo pada tahun 1914, kepopularannya terus melonjak di negara matahari terbit itu. Bermula dari situlah koi dibiakkan dengan teknik pembiakan terpilih, di Niigata, Jepun, dan tersebar ke seluruh dunia.
Ikan koi boleh didapati dalam julat harga yang besar berdasarkan faktor-faktor yang tertentu. Kebiasaannya seekor ikan koi kecil biasa boleh didapati dengan harga $10 ke $50.


Sementara itu sesetengah koi lagi, berdasarkan saiz dengan warna boleh mencecah harga lebih daripada $100 hingga ribuan ringgit. Ikan koi paling mahal telah terjual secara lelongan pada harga AS$1.8 juta di Jepun pada tahun 2017. Antara faktor-faktor tersebut adalah seperti baka, varieti, corak warna, saiz dan asalnya.
Terdapat lebih daripada 100 jenis varieti koi yang telah dipisahkan ke dalam 16 kumpulan oleh Zen Nippon Airinkai, iaitu kelab koi yang pertama sekali di dunia, yang terus mengawasi pembiakan koi dan memastikan standardnya. Varieti koi yang paling popular adalah Kohaku, Sanke dan Showa.
Disebabkan saiznya, koi lebih sesuai dipelihara di dalam kolam. Ia bukan sahaja cara terbaik untuk pemeliharanya menikmati keindahan ikan tersebut, bahkan ia menghidupkan lagi suasana landskap halaman pemiliknya.
Ikan air tawar dari negara beriklim sederhana ini boleh menyesuaikan diri di dalam air yang mempunyai suhu antara 7 darjah Celsius hinggalah ke 35 darjah Celsius, walau bagaimanapun, keadaan suhu yang paling sesuai adalah antara 20 hingga 25 darjah Celsius. Kolam yang dalam membolehkan koi boleh berenang di pelbagai suhu yang berlainan disebabkan oleh termoklin.
Apabila memilih koi untuk diisikan ke dalam kolam, awda perlulah mengambil maklum bahawa koi kecil akan membesar dengan cepat. Oleh itu adalah penting bagi awda untuk tidak mengisikan kolam tersebut dengan terlalu banyak ikan.
Ikan koi yang dipelihara dengan betul boleh hidup sehingga 25 ke 50 tahun lama. Sementara terdapat laporan yang mengatakan ikan koi boleh hidup sehingga 100 hingga 200 tahun dengan koi paling tua yang didokumentasikan adalah berusia 226 tahun. Kualiti air, kondisi kolam, nutrisi, dan penjagaan kesihatannya dapat melanjutkan lagi usianya.

