Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Warna-warni Tetra mempesona

    Oleh Raz AS

    Dalam pelbagai jenis ikan hiasan yang menjadi kegilaan peminat-peminat hobi ikan hiasan dan akuarium, ikan Tetra tidak menjadi perbualan hangat seperti Flowerhorn, Discus, Kelisa dan sebagainya, namun ia merupakan antara pilihan yang paling popular dalam kalangan peminat-peminat ikan hiasan di seluruh dunia untuk menghiasi akuarium mereka.

    Tetra merupakan spesies ikan daripada keluarga Characidae, yang mempunyai hampir 150 jenis spesies yang unik di dalamnya, dengan yang paling popular adalah spesies-spesies Tetra kecil seperti Red Eye, Neon, Black Neon, Black Skirt, Serpae, Rainbow, Bloodfin, Cardinal, Glowlight dan Emperor.

    Taburan habitat asal spesies-spesies Tetra boleh didapati di benua Amerika dan Afrika, dengan kebanyakannya datang dari Amazon dan sungai-sungai di Amerika Selatan.

    Antara faktor kepopularan spesies ikan ini bukan sahaja disebabkan ia senang untuk dipelihara oleh peminat di pelbagai peringkat kemahiran, sama ada baharu dan lama, serta rupanya yang mempunyai warna-warna yang cantik, malah sifatnya yang tenang dan damai sesuai untuk disimpan bersama spesies-spesies ikan lainnya, seperti spesies gapi, seluang dan lain-lain yang tidak agresif atau karnivor.

    Selain itu, ikan Tetra yang suka berenang dalam kawanan telah menjadikannya sebagai tarikan utama kepada peminat-peminat akuarium. Akan tetapi ia haruslah disimpan dalam kawanan yang banyak, sekurang-kurangnya enam ekor ke atas bagi mengelakkannya mengalami stres.

    Tetra merupakan spesies ikan daripada keluarga Characidae, yang mempunyai hampir 150 jenis spesies di dalamnya. – Agensi

    Meskipun kebanyakan spesies Tetra ditemui di kawasan yang mempunyai air tenang dan berasid di habitat asalnya, kebanyakan spesies akuarium yang dijual pada masa kini dibiak dan dibesarkan secara komersial di mana airnya mempunyai tahap pH yang lebih tinggi dan beralkali.

    Bagi kebanyakan spesies Tetra, tahap pH yang sesuai adalah di antara 6.8 dan 7.8 dengan tahap alkali antara 50 ppm ke 140 ppm serta mempunyai suhu air antara 23 ke 26 darjah Celcius. Sejumlah 25 peratus daripada air dalam akuarium haruslah ditukar setiap dua minggu sekali bagi memastikan ia berada pada tahap kualiti yang baik.

    Saiz akuarium untuk menempatkan ikan Tetra adalah sekurang-kurangnya saiz 45 liter, namun semakin besar ia semakin bagus kerana ia akan memberikan banyak ruang kepada ikan tersebut untuk berenang dan lebih senang untuk dijaga. Arus daripada pam penapis haruslah perlahan dan sentiasa bergerak.

    Akuarium yang mempunyai tumbuhan dan hiasan yang mencukupi, serta substrat gelap, di dasar akan menyerlahkan lagi warna menarik ikan Tetra.

    Kebanyakan Tetra adalah spesies omnivor, makanan daripada jenis flaks, pelet, makanan hidup atau beku sesuai diberikan sekali atau dua kali sehari.

    Meskipun senang untuk di-jaga namun ikan Tetra susah untuk dibiakkan kerana ia memerlukan persekitaran yang sesuai untuknya membiak dan membesar.

    Tetra adalah spesies ikan bertelur, namun memerlukan banyak usaha untuk mengasingkan Tetra dewasa dengan telurnya setelah mengawan kerana kebanyakan Tetra akan memakan telurnya sendiri. Ikan Tetra mengawan secara berkumpulan.

    Ikan jantan akan menarik perhatian ikan betina ke kawasan yang mempunyai tumbuhan tebal di mana telur akan dikeluarkan dan disenyawakan dan menetas dalam masa beberapa hari.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...