Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 26 Julai – Dalam usaha untuk membantu melonjakkan industri filem Brunei terutama dari Daerah Belait, Drablo Max Yit Chuan Lee bersama tujuh orang krewnya telah berjaya memasukkan filem pendek pertama berjudul ‘Warped’ dalam Pertandingan Filem Pendek Antarabangsa ‘My Rode Reel’, baru-baru ini.
Semasa ditemui, Drablo Max, penerbit dan pengarah filem pendek tersebut di bawah Chimera Production menjelaskan, ‘Warped’ adalah filem pendek naratif yang berfungsi sebagai pengenalan kepada filem sains fiksyen tentang Parallel Universe Hopping.
“Filem pendek memperkenalkan penonton kepada dunia yang saya hasilkan sendiri dengan menyerlahkan bagaimana buku ‘Theory on Parallel Universe Hopping’ dan ‘Time Travelling’ dicipta,” katanya.
Filem pendek dengan penggambaran sepanjang tiga malam di kawasan Daerah Belait dan boleh disaksikan atas talian berkenaan mengetengahkan bakat-bakat tempatan.

Menurut beliau, dalam ‘My Rode Reel’ yang mewakili pertandingan filem pendek antarabangsa terbesar dunia, mereka menyasarkan Kategori Sains Fiksyen Terbaik dan juga Sinematografi Terbaik. Dalam pertandingan itu, undian penonton juga diambil kira untuk memilih pemenang filem anugerah penonton. Sehubungan dengan itu, beliau menggalakkan rakan-rakan serta keluarga sama-sama mengundi filem pendek ‘Warped’ bagi memberikan sokongan dan galakan untuk pembuatan filem di negara ini.
“Pengundian video akan ditutup sekitar bulan depan dan pemenangnya akan diumumkan pada bulan September,” tambahnya.
Biarpun penggambaran dan penerbitan filem pendek itu sudah selesai tetapi Drablo Max bersama dengan krunya terus membuat penggambaran filem pendek yang lain seperti dokumentari dan sebagainya.