WASHINGTON, 4 MEI – Pelabur bilionair berpengaruh, Warren Buffett mengumumkan semalam dia akan bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma perniagaan Berkshire Hathaway pada akhir tahun ini dan akan mengesyorkan pengganti pilihannya, Greg Abel untuk mengambil alih organisasinya.
Kejayaan Buffett, ditambah pula dengan kebolehannya untuk menerangkan pemikirannya dalam rumusan jelas, telah menjadikannya amat berpengaruh dalam komuniti perniagaan dan kewangan, sehingga dia mendapat jolokan ‘The Oracle of Omaha.’
Buffett menyatakan beberapa tahun lalu bahawa Abel yang berusia 62 tahun akan menjadi pilihannya sebagai pengganti.
“Masanya telah tiba di mana Greg sepatutnya menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pada akhir tahun,” kata Buffett, 94, pada mesyuarat pemegang saham tahunan di Omaha, bandar Midwestern tempat terletaknya ibu pejabat Berkshire.
Buffett berkata beliau percaya lembaga pengarah akan ‘sebulat suara menyokong’ cadangannya.

“Saya masih akan tinggal sementara dan mungkin boleh membantu dalam beberapa kes, tetapi kata muktamad adalah apa yang Greg katakan dalam operasi, dalam penggunaan modal, walau apa pun,” tambahnya.
Buffett mengubah Berkshire Hathaway daripada syarikat tekstil bersaiz sederhana apabila dia membelinya pada 1960an menjadi sebuah konglomerat gergasi, kini bernilai lebih daripada AS$1 trilion dan dengan aset cair AS$300 bilion.
Syarikat itu semalam melaporkan keuntungan suku pertama sebanyak AS$9.6 bilion, turun 14 peratus. Ia bersamaan dengan AS$4.47 sesaham, juga turun dengan mendadak.
Sementara itu, nilai bersih Buffett setakat semalam berjumlah AS$168.2 bilion, menurut senarai kekayaan masa nyata majalah Forbes.
“Saya tidak berniat untuk menjual satu pun saham Berkshire Hathaway. Saya akan sedekahkannya pada akhirnya,” kata Buffett kepada pemegang saham, yang membalas dengan tepukan gemuruh.
“Keputusan untuk mengekalkan setiap saham merupakan keputusan ekonomi kerana saya fikir prospek Berkshire akan menjadi lebih baik di bawah pengurusan Greg daripada saya.” – AFP