SAN FRANCISCO, 18 OKT – Hasrat Golden State Warriors untuk merangkul kejuaraan NBA kali kelima sejak 2015 bergantung pada betapa bagusnya pasukan itu mengawal kesan buruk daripada apa yang ketua jurulatih, Steve Kerr, gelarkan sebagai krisis terbesar di dalam sejarah kelab itu.
Sepanjang hampir separuh dekad yang lalu, pasukan Warriors sering menjadi contoh konsistensi di dalam dan luar gelanggang, pasukan yang dikendalikan dengan hebat, organisasi yang dijalankan dengan baik, yang telah ditetapkan sebagai kayu ukur untuk keseluruhan liga.
Namun, serangan Draymond Green ke atas rakan sepasukannya, Jordan Poole bermakna the Warriors akan mempertahankan gelaran NBA mereka dengan diselubungi ketidakpastian.
Green terlepas penggantungan selepas membelasah Poole dengan tumbukan yang hampir membuatkan rakan sepasukannya jatuh pengsan dan dijangka akan memulakan sesi hari ini menentang Los Angeles Lakers.
Sama ada terdapat akibat di dalam bilik persalinan Warriors terhadap insiden tersebut – dan bagaimana pihak pengurusan akan menangani perkara ini – kekal menjadi tanda tanya.
“Ini ialah krisis terbesar yang kami hadapi sejak saya mengendalikan pasukan ini,” kata Kerr, yang mengaku dia berang dengan butiran insiden tersebut yang tersebar luas kepada umum. – AFP
