LOS ANGELES, 7 NOV – Stephen Curry mengatasi rakan sepasukan Olimpik, Jayson Tatum ketika Golden State Warriors melanjutkan permulaan musim yang cemerlang dengan kemenangan 118-112 ke atas Boston Celtics kelmarin.
Pertarungan itu telah dianggap sebagai peluang Tatum untuk membuktikan sesuatu setelah diketepikan dalam beberapa perlawanan oleh jurulatih Pasukan USA Golden State, Steve Kerr semasa kempen Olimpik Paris yang memenangi pingat emas pada Ogos lalu.
Meskipun Tatum memberikan impak setelah bangkit pada separuh masa kedua untuk menamatkan saingan dengan 32 mata, Curry dan Warriors akhirnya meraih kemenangan sengit di TD Garden.
“Seperti yang selalu kami katakan ‘saling menyokong satu sama lain’ – dan para pemain tampil berani dan komited untuk melakukannya,” kata Curry, yang mencatatkan 27 mata, sembilan assists, tujuh rebounds dan empat steals.
“Kami mampu menewaskan sesiapa sahaja. Ia sukar. Awda perlu menyahut cabaran itu.
Tetapi ini merupakan tahun yang berbeza dan kami sedang berusaha untuk melangkah perlahan-lahan dan membentuk identiti,” tambah Curry, yang naik ke tangga ke-30 dalam senarai penjaring sepanjang masa NBA, mengatasi Charles Barkley (23,757 mata).
Curry mendapat sokongan serangan daripada Andrew Wiggins yang mencatatkan 16 mata, manakala Buddy Hield menambah 16 mata dari bangku simpanan, bersama Kyle Anderson, 11 mata dan Jonathan Kuminga, 10 mata.
“Kami memberikan persembahan yang hebat dan awda tidak tahu giliran siapa yang akan bersinar. Saya suka suasana dalam pasukan kami tetapi ia baru lapan perlawanan, perjalanan masih jauh lagi,” kata Curry kepada ESPN.
Sementara itu, Tatum menjaringkan 24 mata pada separuh masa kedua untuk membantu Boston bangkit daripada ketinggalan 14 mata pada suku ketiga dan meraih kelebihan tujuh mata pada suku keempat. – AFP