KOTA KINABALU, 12 MEI – Pengamal media khususnya dalam kalangan wartawan generasi baharu di Sabah perlu sentiasa aktif turun ke lapangan bagi mencari bahan berita lebih tulen tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada maklumat diperoleh atau dikongsikan melalui media sosial.
Pendekatan itu penting bukan sekadar untuk memberi pengalaman berharga kepada golongan wartawan tetapi membantu mereka menghasilkan laporan berita berimpak tinggi dan komprehensif dengan naratif lebih menarik menerusi pemerhatian di lokasi sekali gus memberi manfaat kepada masyarakat.
Bekas Ketua Biro News Straits Times (NST) Sabah, Roy Anthony Goh, 54, yang berpengalaman 31 tahun dalam bidang kewartawanan berkata persembahan berita berdasarkan media sosial tanpa sampai ke lapangan menjadikan ‘cerita’ cuba disampaikan wartawan agak hambar.
“Aspek pemerhatian perlu dipraktikkan oleh setiap wartawan bagi membolehkan setiap berita dihasilkan serta dipersembahkan dengan lebih jelas diiringi informasi tepat dan difahami pembaca,” katanya kepada Bernama.
Pandangan sama turut dikongsikan seorang wartawan veteran Sabah, Anna Vivienne, 65, yang berpendapat wartawan perlu kekal relevan dengan meningkatkan kemahiran penulisan dan pemerhatian agar dapat memajukan industri media di negeri ini. Beliau berkata kewartawanan penyiasatan juga perlu diperkasa bagi memastikan setiap laporan dihasilkan lebih menyeluruh merangkumi semua perspektif bagi merungkai apa sahaja isu berbangkit.
Sementara itu, wartawan sambilan Berita Harian, Rafiqah Dahali, 32, berkata agensi media juga dilihat perlu lebih terbuka dan bersedia untuk menerbitkan laporan berita yang mengetengahkan isu rakyat meskipun ia hanya bersifat tempatan. Bagi meraikan sumbangan pengamal media, 29 Mei setiap tahun diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) dan sambutan itu diperkenalkan sejak 2018. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/05/Z-journalist-web-freepik-copy.jpg)