SHANGHAI, 21 SEPT – Seorang wartawan rakyat China yang pernah dipenjarakan kerana liputannya terhadap respons awal COVID-19 sekali lagi dijatuhkan hukuman penjara empat tahun, menurut kumpulan hak asasi dan aktivis.
Dalam kes terbaharu, Zhang Zhan ditahan pada Ogos 2024 atas dakwaan ‘mencetuskan kekacauan dan mencari gaduh’ – tuduhan yang lazim digunakan pihak berkuasa untuk menekan pihak yang berbeza pendapat.
Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata wartawan berusia 42 tahun itu ditahan susulan laporan beliau mengenai pelanggaran hak asasi manusia oleh rejim China.
Zhang dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada Jumaat, menurut RSF dan catatan aktivis berpangkalan di UK, Jane Wang, di platform X yang memetik ‘sumber boleh dipercayai’.
Dalam kes terdahulu, Zhang ditahan pada Mei 2020 selepas mengunjungi bandar Wuhan, di mana beliau merakam video menggunakan telefon pintar yang melaporkan kekacauan di pusat pandemik serta mempersoalkan cara pihak berkuasa mengendalikan situasi.

Beliau menjalani hukuman empat tahun penjara dalam kes 2020 itu.
Perbicaraan Zhang kali ini dilaporkan berlangsung pada Jumaat di sebuah mahkamah di Shanghai, menurut RSF dan kumpulan lain.
Namun di luar mahkamah, pegawai enggan mengesahkan perbicaraan sedang dijalankan.
Sekumpulan tujuh diplomat dari negara Eropah dan Amerika Utara yang memohon untuk memerhati kes Zhang dihalang masuk dengan alasan dokumen mereka tidak lengkap, lapor AFP.
Jurucakap kementerian luar China berkata beliau tidak mengetahui situasi tersebut ketika ditanya mengenai kes itu dalam sidang akhbar rutin pada Jumaat. – AFP

