SILIVRI, 26 April – Mahkamah Turki kelmarin mensabitkan beberapa wartawan daripada akhbar pembangkang, Cumhuriyet kerana membantu pertubuhan ‘keganasan’ tetapi akhbar itu berikrar bahawa kewartawanan ‘terhormat’ itu tidak akan berhenti.
Cumhuriyet atau bermaksud ‘Republik’ dimulakan pada 1924 selepas republik Turki ditubuhkan pada 1923.
Akhbar tersebut secara terang-terangan mengkritik Presiden Recep Tayyip Erdogan dan menyiarkan berita di muka depan yang menimbulkan kemarahan pemimpin negara itu.
Mahkamah di Silivri, luar Istanbul, menjatuhi beberapa hukuman kepada 13 wartawan dan eksekutif kerana ‘membantu dan bersubahat dalam pertubuhan keganasan tanpa menjadi ahli’ tetapi mereka tetap dapat mengemukakan rayuan.
“Tidak ada hukuman yang dapat memberhentikan kami daripada kewartawanan. Jika perlu, kami akan masuk ke penjara sekali lagi tetapi kami akan terus melakukan kerja wartawan,” ketua editor, Murat Sabuncu antara disabitkan, memberitahu AFP selepas keputusan dibacakan.

Hakim mengarahkan pembebasan pengerusi Cumhuriyet, Akin Atalay yang dipenjarakan untuk tempoh lebih 500 hari meskipun pensabitannya.
Disambut oleh isterinya, Adalet dan penyokong yang ramai susulan dia dibebaskan dari penjara, Atalay berkata akhbar Cumhuriyet tidak akan tunduk dengan ancaman atau tekanan.
“Seperti mana yang kami selalu beritahu, mereka tidak akan menakutkan akhbar Cumhuriyet dan akan sentiasa memberitahu perkara sebenar kepada pembaca,” beritahunya kepada wartawan.
Menurut Atalay, mereka mengambil ‘tebusan’ dan akhbar tersebut telah dituntut sebagai ‘wang tebusan’ tetapi dia menambah: “Akhbar ini tidak boleh dibeli dengan wang, rakan-rakan kami akan menunjukkan cara bertugas sebagai wartawan.”
Akauntan Emre Iper juga disabitkan atas kesalahan melakukan propaganda keganasan dan dihukum penjara tiga tahun dan satu bulan. – AFP