Wartawan hilang, Trump minta penjelasan

WASHINGTON, 11 Okt – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam menuntut Arab Saudi memberi jawapan berhubung kehilangan Jamal Khashoggi, seorang wartawan yang juga penduduk AS, yang disyaki oleh pegawai-pegawai Turki telah dibunuh selepas memasuki konsulat Saudi di Istanbul.

Pentadbiran Trump telah menambah tekanan, dengan menarik balik respons awal yang tidak menonjol selepas Khashoggi, penyumbang berita Washington Post hilang pada 2 Oktober lalu.

Trump berkata beliau telah berbincang ‘lebih dari sekali’ dan ‘di peringkat tertinggi bersama rakan-rakan di Arab Saudi, salah satu sekutu paling rapat Washington dan pasaran penting bagi industri senjata AS.

“Kami menuntut segalanya,” Trump memberitahu para wartawan. “Kami tidak boleh membiarkan ini berlaku kepada para wartawan dan kepada sesiapa pun.

“Kami amat kecewa melihat apa yang sedang berlaku. Kami tidak menyukainya dan kami akan mencari puncanya,” tambahnya lagi.

Presiden Donald Trump semasa berucap pada perhimpunan ‘Make America Great Again’ di Erie Insurance Arena, kelmarin. Trump menuntut penjelasan daripada Arab Saudi berhubung dengan kehilangan wartawan, Jamal Khashoggi. – AFP

Dalam temu bual bersama ‘Fox News at Night,’ Trump berkata “ia bukanlah perkara yang baik,” jika pihak Saudi terbukti terlibat.

Seramai 22 orang senator telah menulis kepada Trump untuk beliau menggunakan Akta Kebertanggungjawapan Hak Asasi Kemanusiaan Magnitsky Global yang memerlukan presiden membuka siasatan dan menentukan sama ada sekatan harus dikenakan.

“Akta itu digunakan dalam kes-kes pembunuhan yang disyaki pembunuhan di luar bidang kehakiman, penyeksaan atau pencabulan teruk ke atas hak asasi kemanusiaan yang diakui oleh antarabangsa, ke atas individu yang mengamalkan kebebasan bersuara,” menurut para senator.

Diajukan pertanyaan pada temu bual bersama Fox, tentang cadangan dalam Kongres bahawa penjualan senjata kepada negara itu supaya disekat, Trump menjawab langkah seumpama itu akan menjejaskan ekonomi AS.

“Sejujurnya, saya berpendapat itu terlalu perit untuk ditelan oleh negara kita,” ujarnya.

Jurucakap Trump, Sarah Sanders berkata Penasihat Keselamatan Kebangsaan John Bolton, Setiausaha Negara Mike Pompeo dan penolong rapat Trump dan anak menantu lelaki Jared Kushner telah berbincang dengan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dalam tempoh dua hari lalu. – AFP