Wednesday, November 20, 2024
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wartawan pemenang anugerah Kemboja ditahan

    PHNOM PENH, 1 OKT – Seorang wartawan Kemboja yang memenangi anugerah yang terkenal dengan laporannya mengenai pemerdagangan manusia dalam industri penipuan siber telah ditahan, kata polis hari ini.

    Mech Dara tahun lepas telah diberikan Anugerah Wira, yang mengiktiraf usaha menentang pemerdagangan manusia, oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken, bagi siasatannya terhadap eksploitasi penipuan dalam talian di Kemboja.

    Pihak berkuasa melakukan penahanan kelmarin selepas memberhentikan sebuah kereta yang membawa Dara dan keluarganya dari Sihanoukville ke Phnom Penh, Persatuan kata Persatuan Wartawan Kemboja (CamboJA) dalam satu kenyataan.

    Jurucakap polis tentera, Eng Hy mengesahkan penahanan itu tetapi enggan menyatakan di mana Dara ditahan atau mahkamah mana dia akan dihantar.

    “Kami melaksanakan waran daripada pendakwa raya. Bagi pertuduhan, kami tidak boleh nyatakan sekarang. Kami perlu menunggu siasatan dahulu,” katanya kepada AFP.

    Dara, yang karyanya telah muncul di pelbagai saluran berita antarabangsa, menghantar mesej mengenai penahanannya kepada LICADHO, sebuah NGO hak asasi manusia, sejurus sebelum telefonnya dirampas oleh polis tentera.

    “Kami tahu dia telah ditangkap tetapi kami tidak tahu ke mana dia dibawa atau sebab dia ditangkap,” pengarah operasi LICADHO, Am Sam Ath, memberitahu AFP.

    Sehari sebelum penahanannya, Dara telah menyiarkan imej di platform media sosialnya yang menunjukkan tapak pelancongan dirobohkan untuk memberikan laluan kepada kuari, menurut CamboJA.

    Pihak berkuasa tempatan melabelkan imej yang kini dipadamkan sebagai ‘berita palsu’ dan menggesa Dara berdepan hukuman atas penerbitan mereka. – AFP

    Gambar fail bertarikh 15 Jun 2023 menunjukkan Blinken bergambar bersama Dara semasa majlis penyampaian anugerah 2023 di Jabatan Negara di Washington, DC. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda