Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wartawan Perancis diberi notis tinggalkan India

    NEW DELHI, 23 JAN – Seorang wartawan Perancis berkata hari ini dia berdepan risiko pengusiran dari India selepas berkhidmat selama dua dekad kerana laporannya disifatkan pihak berkuasa sebagai ‘jahat dan kritikal’, beberapa hari sebelum lawatan negara oleh Presiden Emmanuel Macron.

    Para pengkritik mengatakan kebebasan akhbar dalam demokrasi terbesar dunia semakin terancam, dengan wartawan yang menyentuh topik sensitif sering menerima kritikan kerajaan.

    Yang terbaharu ialah Vanessa Dougnac, penyumbang kepada beberapa penerbitan berbahasa Perancis termasuk majalah mingguan, Le Point, yang telah berpangkalan di India selama 22 tahun.

    Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri menghantar notis kepada wartawan yang mengatakan kerjanya ‘bercanggah’ dengan kepentingan negara.

    “Aktiviti kewartawanannya bersifat jahat dan kritikal dan ia menimbulkan persepsi berat sebelah tentang India,” kata notis itu.

    “Selain itu, aktivitinya juga boleh mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman,” tambah notis itu.

    Notis itu memberi tempoh kepada Dougnac, yang mempunyai pasangan warga India, sehingga 2 Februari untuk mencabar keputusan kementerian yang membatalkan pemastautin tetapnya – satu langkah yang akan memaksanya meninggalkan negara itu.

    Dougnac, yang melaporkan beberapa topik termasuk pemberontakan Maois Naxalite di luar bandar India, menafikan ‘semua dakwaan dan tuduhan’ terhadapnya dalam surat itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda