Wednesday, March 26, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Wartawan Tempo terima ancaman, polis lakukan siasatan

    JAKARTA, 23 MAC – Polis Republik Indonesia (Polri) memulakan siasatan berikutan ancaman yang diterima wartawan majalah berita Tempo, Francisca Christy Rosana atau lebih dikenali sebagai Cica.

    Ancaman itu termasuk kepala khinzir dihantar dalam satu bungkusan serta penemuan enam ekor tikus tanpa kepala di pejabat penerbitan itu di Jakarta Selatan.

    Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden berkenaan.

    “Saya telah mengarahkan Ketua Siasatan Jenayah untuk melakukan penyiasatan secara terperinci berhubung insiden di Tempo,” katanya dalam satu kenyataan.

    Ancaman pertama dilaporkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Wartawan Indonesia (KKJ) oleh Ketua Pengarang Tempo, Setri Yasra selepas satu bungkusan dihantar kepada Cica.

    Jeneral Listyo Sigit Prabowo memaklumkan bahawa beliau mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap insiden berkenaan. – Bernama

    Pada 21 Mac, KKJ merujuk kes kepada Jabatan Siasatan Jenayah polis. Cica, seorang wartawan meja politik serta hos podcast politik Bocor Alus Politik, merupakan penerima bungkusan pertama yang mengandungi kepala khinzir.

    Bungkusan itu dialamatkan kepadanya pada 19 Mac tetapi hanya diterima sehari kemudian selepas beliau selesai bertugas.

    Pada 22 Mac, satu lagi bungkusan yang mengandungi enam ekor tikus tanpa kepala ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan di pejabat Tempo sekitar 8 pagi waktu tempatan.

    Majlis Akbar Indonesia mengecam ancaman itu, menyifatkannya sebagai satu serangan terhadap kebebasan media.

    “Ini jelas merupakan tindakan keganasan dan ugutan yang bertujuan menakut-nakutkan.

    “Perbuatan seperti ini biasanya dilakukan oleh pihak yang berasa terancam tetapi enggan bertanggungjawab,” kata Pengerusinya Ninik Rahayu.

    Beliau menggesa mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan laporan Tempo supaya menggunakan hak untuk memberikan maklum balas, bukannya bertindak mengugut.

    Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia, Meutya Hafid menegaskan bahawa kebebasan media adalah asas penting demokrasi yang mesti dipertahankan.

    Beliau menambah bahawa pentadbiran Presiden Prabowo Subianto komited dalam melindungi kebebasan bersuara dan memastikan kritikan awam terus menjadi sebahagian daripada dasar kerajaan.

    “Sebagai bekas wartawan, saya amat kesal dengan sebarang ancaman terhadap kebebasan media.” – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda