Oleh Aqilah HMS –
Aku masih ingat lagi, awal tahun itu adalah saat yang paling bermakna dalam hidupku. Setelah bertahun-tahun hanya bekerja makan gaji dengan pendapatan yang tidak seberapa, aku dan dua orang sahabat karibku, Razif dan Halim. Akhirnya kami sepakat membuka sebuah warung kecil di simpang tiga jalan utama kampung kami.
Idea itu sebenarnya sudah lama berputar dalam kepala. Setiap kali kami duduk minum kopi di gerai orang lain, mesti ada sahaja rungutan. Kadang-kadang kopi terlalu cair, kadang-kadang lauk tengah hari cepat habis, kadang pula harga tidak berbaloi. Dari situlah timbul semangat kami bertiga, “Kalau orang lain boleh buka, kenapa tidak kita?”
Razif yang paling pandai memasak. Halim pula cekap melayan orang, ramah mulut dan tidak pernah kekok bersembang dengan sesiapa saja. Aku, walaupun tidak begitu mahir di dapur, tapi aku pandai mengurus dan kira-kira duit. Gabungan kami bertiga ibarat cukup rencah seorang masak, seorang layan pelanggan, seorang lagi uruskan kewangan.
Hari pertama membuka warung, aku masih dapat rasa debaran itu. Malam sebelumnya kami bertiga hampir tidak tidur Razif sibuk menyiapkan kuah gulai ayam, Halim menyusun meja kerusi plastik biru yang baru dibeli dari kedai perabot murah, manakala aku pula menyiapkan papan tanda kayu bertulis besar, ‘Warung 3 Sahabat’, cat merah terang, supaya jelas dilihat orang lalu-lalang.
Warung itu kami dirikan di atas tanah kosong peninggalan arwah ayahku, betul-betul di tepi jalan besar yang sentiasa sibuk dengan kenderaan. Lokasinya strategik, orang kampung lalu setiap pagi, pekerja ladang pula memang suka berhenti makan sebelum masuk kerja. Aku yakin, kalau betul caranya, warung kecil kami boleh jadi tumpuan ramai.


Bau nasi lemak, kuih-muih dan kopi panas memenuhi udara. Pelanggan pertama masuk ialah seorang pakcik yang selalu lalu dengan basikalnya. Dia puji masakan kami sedap. Aku senyum bangga. Hari itu kami penat, tapi puas hati. Aku fikir, inilah permulaan rezeki besar.
KEDAI TidAK WUJUD
Tapi tidak sampai seminggu, benda pelik mula berlaku. Seorang kawan sekolah lama lalu depan warung tapi tak singgah.
Malamnya aku mesej dia, tanya kenapa tidak singgah. Jawapannya buat aku kaku, “Warung apa? Aku lalu tiap hari, tidak nampak pun ada kedai.”
Aku geleng kepala. Tidak logik. Papan tanda jelas tergantung, lampu neon biru terang menyala. Mustahil tidak nampak.
Tapi makin lama makin ramai orang cakap benda sama. Ada yang betul-betul berhenti depan simpang, tapi katanya, “Tidak nampak warung langsung. Seolah-olah warung ghaib dari pandangan mata orang luar.”
Aku, Razif dan Halim mula rasa tidak sedap hati.
MAKANAN CEPAT BASI
Belum lama selepas tu, masalah lain pula timbul. Makanan kami cepat basi. Nasi lemak baru sejam dua dimasak, tiba-tiba berair dan berbau masam. Kari ayam yang disimpan dalam peti sejuk, esok paginya berkulat. Kuih jadi keras macam batu walaupun baru pukul 10 pagi.
Kami cuba macam-macam cara. Tukar bekalan beras, beli peti ais baharu, letak ubat tahan kulat, semua tidak berhasil.
Aku teringat kata-kata mak, “Kalau rezeki terasa berat macam ni, mungkin ada orang tidak suka.”
Tapi aku cuba buang prasangka. Aku fikir mungkin salah kami dalam simpan makanan.
WARUNG DISIHIR
Setiap pagi bila sampai ke warung, mesti ada satu perkara yang sama, meja-meja kayu basah kuyup. Padahal malam sebelumnya kami lap kering dan seingat aku malam sebelumnya tidak hujan.
Aku pun tidak fikir panjang, aku terus ambil penyembur dan lap meja kat warung tu satu per satu. Belum sempat lap, ada satu bau busuk menusuk ke hidung aku. Bau hancing yang sangat kuat, macam kencing kucing, tapi lebih kuat.
“Bau apa ni? Rasa nak muntah aku.”
Aku cuba gosok meja dengan sabun kuat, lap dengan cuka, malah letak serai wangi. Tak jalan. Esoknya berulang balik.
Orang kampung yang sesekali lalu mula pandang pelik. Ada yang bisik, “Warung tu macam ada benda tidak kena, tidak bersih.”
Hati aku makin berat.
PASANG CCTV
Kami mula rasa tidak sedap hati dan rasa ingin tahu apa yang terjadi semakin membuak-buak.
Halim cakap, “Aku rasa ada budak nakal sengaja buat. Baik kita pasang CCTV.”
Kami bertiga setuju. Pasang dua kamera murah, satu menghadap pintu depan, satu dalam dapur. Malam itu kami tutup warung, hati berdebar nak tunggu rakaman esok.
Pagi-pagi, meja tetap basah, bau tetap ada. Aku dan kawan-kawan terus buka komputer riba tengok rakaman.
Apa yang muncul buat bulu roma meremang.
Pukul 3 pagi, muncul tiga orang berpakaian hitam, wajah tak jelas, macam berbalam-balam.
Seorang bawa botol, menyiram sekeliling warung. Seorang lagi menabur serbuk hitam di pintu. Yang ketiga berdiri di tengah, mulut terkumat-kamit membaca sesuatu, suara mendesis, bahasa entah apa.
Tiba-tiba, serentak ketiga-tiga itu menoleh tepat ke arah kamera.
Mata mereka kelihatan merah menyala. Beberapa saat kemudian rakaman jadi kabur, bunyi berdengung dan kamera padam.
Aku rasa darah mengalir laju, jantung berdegup kencang. Razif terus menutup mulut, Halim terketar-ketar.
“Bukan orang biasa tu…” bisik Halim.
Selepas nampak rakaman itu, hidup kami jadi lebih teruk.
Aku sering bermimpi. Dalam mimpi, seorang lelaki tinggi kurus, berbalut kain hitam, berdiri di tengah warung. Tangannya berlumur darah, matanya hitam pekat. Dia selalu ulang ayat yang sama:
“Warung ini bukan milik kamu. Pergi… sebelum terlambat.”
Razif pula sering terjaga tengah malam dengan peluh dingin. Dia kata ada suara bisik di telinganya, “Tutup kedai itu, tutup cepat…”
Halim pula paling teruk. Suatu pagi dia datang ke warung dengan muka pucat, mata merah. Dia cerita malam tadi nampak bayangan tiga orang dalam rakaman itu berdiri depan rumahnya, memandang tanpa berkata apa-apa.
Kami bertiga dah tidak boleh tidur lena.
PELANGGAN LARI
Sekali-sekala ada pelanggan singgah, tapi mereka cepat-cepat pergi. Ada yang kata makanan tiba-tiba rasa pahit di mulut. Ada yang muntah selepas balik dari warung.
Seorang mak cik terus terang, “Maaf, mak cik rasa macam ada benda menutup kedai kamu. Makan pun jadi lain.”
Reputasi kami jatuh. Orang kampung mula menjauh. Warung jadi semakin sunyi.
Akhirnya, kami nekad. Razif cadangkan panggil ustaz terkenal di kampung sebelah, Ustaz Zainal. Dia berpengalaman mengubat sihir.
Bila sampai, Ustaz Zainal berdiri sebentar depan warung. Dia pejam mata, tarik nafas panjang.
“Ya Allah, tempat ini sudah ditutup. Ada sihir pengikat rezeki. Makanan kamu rosak kerana racun ghaib yang ditabur.”
KAMI BERTIGA KAKU
Ustaz mula baca ayat ruqyah, memercik air doa ke seluruh warung. Bau hancing yang menusuk tiba-tiba hilang. Meja yang basah terus kering seketika.
Kemudian ustaz gali sedikit tanah di tepi warung. Dari dalam tanah, dia tarik keluar bungkusan kain hitam. Di dalamnya ada rambut, paku berkarat, tanah kubur dan kertas bertulis simbol pelik.
“Ini sihir pengikat. Ada orang upah untuk tutup perniagaan kamu.”
Ustaz bakar bungkusan itu sambil baca doa. Api menjulang tinggi, bunyi berdesis seolah ada sesuatu menjerit.
Selepas beberapa minggu rawatan berterusan, keadaan mula berubah. Pelanggan kembali singgah. Makanan tidak cepat basi. Tiada lagi meja basah dan bau hancing.
Aku dan kawan-kawan bersyukur. Tapi dalam hati, trauma masih ada. Setiap kali teringat rakaman CCTV, bulu roma aku meremang. Wajah tiga orang asing itu masih jelas dalam fikiran.
Ustaz pesan, “Ingat, bila berniaga, jangan lupa doa pelindung. Amalkan ayat Kursi, doa Nabi Yunus dan selawat. Sihir boleh datang bila-bila, tapi perlindungan Allah lebih kuat.”
Warung kami hidup semula, tapi aku tahu semuanya mungkin belum berakhir.

