Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Warung Pok Joh meriah sejak tawar menu Rahmah

    Gambar Bernama

    GUA MUSANG – Asbab memperkenalkan Menu Rahmah di kedai makan milik mereka, pasangan suami isteri warga emas tidak putus menerima kunjungan pelanggan bermula dari pagi hingga tengah hari untuk menikmati dua menu yang ditawarkan di premis mereka. 

    Hamzah Daud, 73, dan isterinya, Siti Fatimah Omar, 67, antara peniaga di pekan lama Gua Musang yang mendukung Konsep Payung Rahmah kerajaan untuk menyediakan jualan set hidangan berharga RM5 bagi membantu golongan susah dan rentan menangani kenaikan kos sara hidup. 

    Menurut Hamzah, beliau menawarkan dua pilihan menu iaitu nasi putih bersama gulai ayam dan nasi putih bersama ayam goreng, malah pelanggannya juga bebas memilih minuman teh o sejuk atau panas secara percuma. 

    “Kami mula memperkenalkan hidangan ini seminggu lepas dan menguar-uarkan melalui media sosial, selain mempamerkan gegantung di hadapan kedai. Alhamdulillah, sambutannya sangat memberangsangkan. 

    “Minggu ini kedai kami menjadi pilihan pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk singgah makan beramai-ramai,” katanya kepada pemberita di warung berkenaan.

    Menurut Siti Fatimah pula, beliau dan 10 pekerja hampir tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan sepanjang tempoh menu berkenaan dijual bermula 7:30 pagi hingga 12 tengah hari. 

    “Hampir 100 set hidangan berjaya dijual setiap hari dan ramai yang mengambil kesempatan membeli secara bungkus untuk makan bersama keluarga di rumah.

    “Lebih menggembirakan adalah kedai kami juga semakin dikenali oleh pelanggan baharu kerana sebelum ini ramai yang menyangka kami beroperasi pada tengah hari dan hanya menjual masakan panas dan sup sahaja,” katanya. 

    Pelanggan, Mohd Asyraf Zulkifli, 18, berkata dia bersama rakan-rakannya memilih untuk makan di Warung Pok Joh se-telah melihat gegantung menu yang tertera harga RM5. 

    “Set hidangan di kedai ini murah dan nasi pun banyak. Minggu peperiksaan SPM ini saya dan kawan-kawan setiap hari singgah di sini selepas pulang dari sekolah,” katanya. – Bernama

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Seri Salahuddin Ayub bersama tiga Menu Rahmah Oldtown White Coffee pada majlis pelancarannya di Laman Niaga Sri Rampai, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...