Sunday, January 5, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Waspada ajaran menyimpang daripada Islam

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Hal Ehwal Syariah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang ajaran atau kumpulan yang mungkin menyimpang daripada ajaran Islam dan hukum syarak.

    Peringatan tersebut adalah berikutan dengan kes di negara jiran baru-baru ini yang melibatkan sebuah entiti perniagaan yang dikaitkan dengan pertubuhan yang telah difatwakan sesat.

    Perkara tersebut mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa di negara ini.

    Oleh itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dengan ajaran-ajaran yang mempunyai ciri-ciri antaranya seperti fanatik dan taksub kepada individu tertentu termasuk amalan yang menunjukkan unsur-unsur penyimpangan, seperti menyimpan sisa tubuh sebagai azimat atau menggunakannya dalam urusan perniagaan.

    Selain itu, antara ciri-ciri lain termasuklah kepercayaan dan fanatik yang melampau seperti mempercayai bahawa individu yang mereka sanjung sebagai ketua tidak mati tetapi dighaibkan dan dianggap sebagai Imam Al-Mahdi yang dinantikan.

    Gambar Bernama

    Ajaran yang menyimpang dari Islam juga akan mentafsir dan mengambil hukum secara salah termasuk pengenalan ritual yang tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam, seperti pengamalan zikir yang menyanjung individu tertentu atau menjamak dan memendekkan (qasar) solat lima waktu dalam semua keadaan tanpa sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak; mengasingkan diri daripada keluarga dan masyarakat serta mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak untuk menumpukan perhatian kepada sesuatu kumpulan tertentu, sedangkan Islam menganjurkan persaudaraan dan perpaduan; dan permintaan sumbangan kewangan berulang kali tanpa tujuan yang jelas atau dengan unsur yang mencurigakan atau paksaan.

    Mana-mana individu yang mengajar atau menerangkan ajaran berkaitan agama Islam dengan cara yang bertentangan dengan hukum syarak, atau melaksanakan sesuatu upacara atau amalan yang bertentangan dengan hukum syarak adalah melakukan satu kesalahan di bawah Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah.

    Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga $20,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda